Sabtu, 30 Disember 2023 | 5:01pm
Alha dan Zara adalah geng karaoke memandangkan suka menyanyi ketika waktu lapang. - NSTP/Sadiq Sani
Alha dan Zara adalah geng karaoke memandangkan suka menyanyi ketika waktu lapang. - NSTP/Sadiq Sani

Cinta Agung hadiah persahabatan Alha, Zara Zya

KUALA LUMPUR: Peneraju industri kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa tidak berhasrat bergelar penyanyi menerusi pelancaran single duet bersama Zara Zya berjudul Cinta Agung.

Alha atau nama sebenarnya, Abdul Al Halim Al Fadzil berkata, pertaruhannya menerusi single ciptaan Yuka Kharisma itu hanyalah untuk memeriahkan industri seni muzik, selain percaya ia boleh mengembangkan lagi empayar perniagaan kosmetik.

"Saya tiada niat nak jadi artis. Apa yang saya lakukan bertujuan memeriahkan lagi industri hiburan tanah air. Boleh dikatakan 90 peratus niat saya mahu menjadi usahawan.

"Sebelum ini, ramai selebriti yang ceburi bidang perniagaan dan berjaya. Apa salahnya usahawan pun cuba keluarkan lagu. Apatah lagi, single ini saya jadikan satu hadiah buat Zara sepanjang 10 tahun persahabatan kami.

"Jujurnya, single duet Cinta Agung ini adalah penghargaan saya terhadap Zara yang banyak membantu dan memberi sokongan saya sebagai sahabat, biarlah ia diabadikan menerusi karya yang indah.

"Fokus utama saya kini adalah Alha Alfa Cosmetics dengan memastikan jenama kami dapat bersaing dengan jenama antarabangsa yang terlebih dahulu bertapak dalam industri tempatan.

"Andai benar kini saya dilihat sebagai selebriti, mudah-mudahan saya dikenali dan diingati kerana kehebatan produk kosmetik yang saya hasilkan," katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai hubungan persahabatan bersama Zara yang sudah terjalin sejak 2014, Alha berkata, Zara dan dia adalah geng karaoke memandangkan suka menyanyi ketika waktu lapang.

"Idea di sebalik penghasilan single Cinta Agung ini timbul secara santai. Secara jujurnya, saya tak mempunyai tujuan khusus untuk menghasilkan lagu ini.

"Saya dan Zara gemar berkaraoke dan mempunyai beberapa kenalan rapat yang digelar geng karaoke, dan kebetulan juga, saya berkawan baik dengan Yuka.

"Saya pernah berseloroh minta Yuka cipta lagu dan tanpa diduga, Yuka beritahu sudah menyiapkan single untuk saya. Jadi, saya terus terima pelawaan dan mengajak Zara berduet bersama.

"Hakikatnya, single Cinta Agung ini sudah dihasilkan hampir setahun lalu. Kini, tiba masa kami perdengarkan," katanya yang ditemui pada sidang media di Publika, di sini, baru-baru ini.

Single Cinta Agung adalah penghargaan Alha kepada Zara yang banyak bantu dan beri sokongan sebagai sahabat dan mahu diabadikan menerusi karya yang indah. - NSTP/Sadiq Sani
Single Cinta Agung adalah penghargaan Alha kepada Zara yang banyak bantu dan beri sokongan sebagai sahabat dan mahu diabadikan menerusi karya yang indah. - NSTP/Sadiq Sani

Dalam masa sama, Alha turut menolak penghasilan single Cinta Agung adalah bagi menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Saya tidak terfikir sampai masuk AJL. Saya cuma rakamkan lagu ini untuk suka-suka. Kelas vokal pun saya tidak pergi.

"Lagu ini pun dibuat dalam masa yang singkat dan Yuka hasilkan single Cinta Agung ini mengikut kesesuaian vokal kami.

"Malah perancangan menghasilkan video muzik dibuat dalam masa singkat merangkumi persiapan baju, set penggambaran dan sebagainya. Jumlah keseluruhan single ini mencecah RM60,000," katanya.

Dalam pada itu, Alha berkata, dia bersedia untuk menerima kecaman dan menyifatkan ia sebagai satu kebiasaan, lebih lagi apabila berada dalam industri hiburan.

"Sekarang ini kecaman satu kebiasaan. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun kena kecam, apatah lagi, saya.

"Tak apalah, kita tidak cuba, tidak tahu. Saya suka cabar diri dan buat sesuatu di luar kotak," katanya.

Berita Harian X