Sabtu, 30 Disember 2023 | 1:01pm
Amir tolak lakukan adegan panas demi jaga nama baik keluarga. - Foto IG Amir Ahnaf
Amir tolak lakukan adegan panas demi jaga nama baik keluarga. - Foto IG Amir Ahnaf

Amir terbuka terima teguran peminat

KUALA LUMPUR: Jarang membaca komen ditinggalkan peminat dalam laman sosial bukan bermakna pelakon Amir Ahnaf tidak terbuka terima teguran.

Jejaka kelahiran Terengganu yang meraih populariti menerusi drama Projek: High Council itu berkata, dia terbuka menerima teguran, namun turut meminta peminat membuka minda sebelum melemparkan kecaman terhadap golongan artis.

"Saya bukan tidak baca komen ditinggalkan netizen, ada juga baca sikit-sikit. Bagi saya, semua orang ada perspektif dan tidak salah luahkan apa yang terbuku di hati.

"Saya minta buka sedikit minda supaya tidak kelihatan seperti orang yang tidak tahu apa-apa sebelum meluahkan sesuatu.

"Disebabkan tidak tahu apa-apa mengenai industri seni, maka menjadi tanggungjawab saya untuk terangkan apa yang kami lakukan dalam bidang persada seni ini," katanya kepada BH Online.

Amir yang kini digandingkan dengan pelakon Anna Jobling dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah mengakui, tidak kisah apabila karakter Farid yang dibawakan menerusi drama berkenaan terima kecaman.

Katanya, penonton tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir. Justeru, kecaman dilemparkan tidak memberi kesan kepadanya.

"Sebenarnya saya sudah jangka watak Farid akan dibenci selepas baca skrip.

"Saya okay memandang apa sahaja babak termasuk berdua dengan pelakon wanita dilakukan di hadapan ramai orang, cuma penonton tak nampak apa yang berlaku di belakang kamera.

"Penonton kena faham soal profesionalisme dan saya bawakan karakter mengikut kehendak skrip. Sekiranya watak menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia sudah tentu pengarah akan tukar sejak awal lagi atau ketika proses suntingan.

"Saya bersedia bawa sesuatu watak disebabkan kerja," katanya.

Amir meraih perhatian apabila digandingkan dengan Anna Jobling menerusi drama Syurga Itu Bukan Mudah. - Foto IG Amir Ahnaf
Amir meraih perhatian apabila digandingkan dengan Anna Jobling menerusi drama Syurga Itu Bukan Mudah. - Foto IG Amir Ahnaf

Pemenang trofi BBNU Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) itu berkata, dia tetap bimbang untuk melakonkan adegan panas dalam drama atau filem kerana masih menitikberatkan perasaan orang tuanya di kampung.

"Sebenarnya saya takut lakonkan babak panas kerana bimbang dimarahi orang tua.

"Saya perlu fikirkan perasaan ibu bapa kerana saya bawa nama baik keluarga," katanya.

Sementara itu, Amir berkata, ada penonton kurang senang apabila dirinya diberi peluang menerajui drama bergenre romantik gara-gara memiliki wajah lelaki Melayu.

"Masyarakat sudah terbiasa disogokkan dengan lelaki berwajah jambu, namun saya akur kerana ia sudah menjadi budaya dalam dunia lakonan apabila penonton mendambakan pelakon lelaki berwajah seperti bintang K-Pop.

"Sebenarnya saya sudah fikirkan sejak dahulu lagi. Saya berwajah Melayu, mungkin ada segelintir penonton tak suka sebab sudah terbiasa layan K-Drama.

"Bagaimanapun, saya akur pelakon berwajah jambu tetap jadi pilihan sebab lumrah manusia suka tengok benda cantik dan elok pada pandangan mata," katanya.

Berita Harian X