Sabtu, 30 Disember 2023 | 8:30am
Fasha dan Aidil mahu cabar diri membintangi naskhah bergenre aksi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Fasha dan Aidil mahu cabar diri membintangi naskhah bergenre aksi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Fasha, Aidil idam anak lelaki

KUALA LUMPUR: Kebahagiaan jelas terpancar pada kerukunan rumah tangga pasangan merpati sejoli, Fasha Sandha, 39 dan suaminya, Aidil Aziz, 36.

Selain berharap kerjaya seni dilimpahkan rezeki, Fasha dan Aidil turut memanjat doa agar dikurniakan seorang lagi cahaya mata bagi melengkapi keluarga kecil mereka.

Selepas dikurniakan anak perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia empat tahun, Fasha dan Aidil yang mendirikan rumah tangga pada 2019 tak putus berdoa agar dikurniakan anak lelaki.

Justeru, Fasha berhasrat mendapatkan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sebagai ikhtiar dan usaha memiliki cahaya mata lelaki, tahun depan.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia bersedia menjalani rawatan itu dan kemungkinan akan memperlahankan kerjaya lakonannya.

"Kalau ada rezeki saya dan Aidil mahu tambah anak lagi. Kalau ikut perancangan saya nak buat IVF dan mahu terus pilih jantina lelaki, tetapi ini juga kerja Tuhan.

"Kita hanya mampu merancang, kalau ada rezeki, insya-Allah.

"Sebenarnya tak jumpa lagi doktor mendapatkan maklumat, jadi kami belum tahu macam mana. Saya akan jumpa doktor selepas habis penggambaran drama untuk minta nasihat dahulu.

"Saya kena selesaikan komitmen yang ada seperti penggambaran drama Malang Si Puteri sehingga Februari tahun depan.

"Dari segi duta, kalau saya mengandung pun tetap boleh jadi duta," katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan, doa selamat dan kesyukuran bersama Elisya Sandha di Bizmilla Ariz Hall Shafsbury, Cyberjaya, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas kerjaya lakonannya, Fasha kini sibuk di lokasi penggambaran drama Malang Si Puteri terbitan Radius One Sdn Bhd yang akan disiarkan Astro Ria.

Keluarga kecil Fasha dan Aidil bersama anak-anaknya. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Keluarga kecil Fasha dan Aidil bersama anak-anaknya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Fasha berkata, dia dan suami mahu mencabar diri menerima tawaran berlakon dalam naskhah aksi.

"Saya mengimpikan watak seperti Lara Croft yang dibawakan oleh Angelina Jolie dalam filem Tomb Raider.

"Kalau boleh saya dan Aidil mahukan watak yang tak pernah dilakonkan. Buat masa sekarang, banyak karakter baik diberikan.

"Jujurnya, saya menantikan tawaran berlakon dalam filem bergenre aksi. Itu yang saya idamkan seperti watak Lara Croft," katanya.

Sementara itu, Aidil berkata, dia bersyukur segalanya lengkap dalam rumah tangga, namun tak henti mengharap dikurniakan cahaya mata lelaki.

"Dari segi kerjaya, Alhamdulillah, kami mahu cuba semua aspek dalam bidang seni.

"Kalau bercakap dari segi kehidupan, harapan kami dapat tambah seorang cahaya mata lagi.

"Jadi, Fasha perlu kurangkan aktiviti penggambaran demi kebaikan dan kesihatan mahu berbadan dua.

"Seperti kita ketahui penggambaran memerlukan banyak tenaga setiap hari. Untuk trimester pertama kena berjaga," katanya yang membintangi filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Seperti isterinya, Aidil berkata, dia sudah lama mengimpikan dapat menjayakan naskhah yang padat dengan adegan lasak.

"Saya mahu menguji ketahanan mental dan fizikal dengan membintangi filem aksi di mana watak yang memerlukan tenaga dan aksi pertarungan.

"Sepatutnya saya terima tawaran berlakon filem Takluk, tapi jadual penggambaran bertembung dengan filem Harimau Malaya: The Untold Journey. Jadi, tiada rezeki saya.

"Saya tidak buat dua 'job' dalam satu masa sebab bimbang menyusahkan syarikat produksi.

"Jadi, saya menanti tawaran naskhah yang padat dengan aksi, tahun depan," katanya.

Berita Harian X