Jumaat, 29 Disember 2023 | 11:04am
Amylea bersemangat berjuang semula selepas lagu Selagi Ku Ada, nyanyian Khai dan Nabila bolos ke pentas AJL 38. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Amylea bersemangat berjuang semula selepas lagu Selagi Ku Ada, nyanyian Khai dan Nabila bolos ke pentas AJL 38. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Amylea bangkit selepas lagu tembusi AJL 38

KUALA LUMPUR: Melihat lagu ciptaannya, Selagi Ku Ada, nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, komposer dan penyanyi, Amylea Azizan bersemangat mahu mempertaruhkan lagu nyanyiannya dalam penganjuran, tahun hadapan.

Amylea berkata, dia tidak menyangka ramai menyokong dan menyambut baik karya nukilannya.

"Dua single saya tidak dicalonkan dalam Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM 38) sebab saya tak hantar.

"Saya rasa tiada siapa kisah, sama ada saya hantar atau tidak, ia tidak memberi kesan, tapi insya-Allah saya akan calonkan lagu yang saya nyanyikan, tahun depan.

"Dengan adanya lagu ciptaan saya dinyanyikan oleh Ernie Zakri dan seterusnya satu lagu yang dihasilkan untuk seorang penyanyi dan lagu sendiri, saya mahu calonkan lagu ini dalam SFMM tahun depan.

"Jujurnya, saya bersemangat untuk berjuang semula. Saya tak menafikan rasa rendah diri untuk bersaing, tapi saya mahu cuba yang terbaik," katanya kepada BH Online.

Amylea berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran anjurannya bersama Fasha Sandha, Aidil Aziz dan Elisya Sandha di Bizmilla Ariz Hall, baru-baru ini.

Suami berikan dorongan kepada Amylea hadir ke pentas SFMM 38. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Suami berikan dorongan kepada Amylea hadir ke pentas SFMM 38. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Bertanya mengenai lagu Selagi Ku Ada yang layak ke pentas AJL 38, Amylea berkata, dia tidak mengharapkan lagunya layak, namun berterima kasih atas sokongan ramai.

"Saya sudah lama tidak berharap apa-apa, tetapi tak nafikan anugerah menjadi penentu kejayaan.

"Saya percaya kalau Allah tak berikan, pasti ada sebab. Ia juga bukan faktor saya patah semangat dan enggan berusaha.

"Tapi, saya memang tidak mengejar apa-apa, tahun ini. Ia seperti gembira atau sedih sangat pun tidak.

"Jujurnya, saya datang ke SFMM 38 atas desakan suami. Dia beri semangat suruh pergi dan emak pun mengatakan perkara yang sama.

"Ketika itu, saya baru kenal suami, jadi mahu kenalkan kepada kawan.

"Saya rasa sangat kerdil, namun terharu melihat komen yang menyokong, malah ketika persembahan lagu, ada peminat artis lain memberikan respon positif.

"Saya tak sangka orang tahu lagu saya," katanya.

Selagi Ku Ada antara 12 lagu terbaik yang bakal berentap di AJL 38 yang bakal bersiaran langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan.

Berita Harian X