Khamis, 28 Disember 2023 | 5:00pm
Konsert Milenia akhirnya direalisasikan di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Januari depan selepas tiga kali tertangguh.
Konsert Milenia akhirnya direalisasikan di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Januari depan selepas tiga kali tertangguh.

Konsert Milenia gegar Zepp Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Konsert Milenia yang tertunda tiga kali bakal diteruskan di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Januari depan.

Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob berkata, pihaknya tetap berusaha meneruskan konsert meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran selepas tiga kali ditangguhkan.

"Kami berdepan cabaran besar mengenai perang persepsi kerana faktor keadaan dan situasi semasa. Ia terpaksa ditunda atas permintaan pihak berwajib yang tidak dapat mengeluarkan permit hiburan sementara pada tarikh sebelum ini.

"Meskipun kapasiti penonton di Zepp Kuala Lumpur bukan berskala besar seperti Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, namun konsert ini perlu direalisasikan.

"Ini kerana memperjuangkan, mengangkat dan memartabatkan irama muzik dangdut adalah keutamaan kami.

"Konsert ini juga mahu membuktikan corak persembahan tidak boleh keterlaluan dan perlu mengikut spesifikasi garis panduan Pusat Permohonan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL)," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 25 November lalu ditangguhkan bagi menghormati penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Konsert Milenia 2024 yang direncanakan membawa penyanyi dangdut tanah air, Amelina dan Mas Idayu itu juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Baby Shima dan Ani Maiyuni.

Seperti sedia maklum Konsert Milenia adalah gabungan artis Malaysia dan Indonesia, justeru ia juga akan dimeriahkan dengan persembahan dari penyanyi Indonesia iaitu Hesty Klepek Klepek, Rheyna Morena dan Thomas Arya.

Bagaimanapun, Jeffri berkata, barisan asal penyanyi konsert iaitu Siti Badriah dan Fitri Carlina tidak dapat menyertai atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

"Kami ingin memaklumkan Siti Badriah dan Fitri Carlina tidak dapat turut serta kerana tarikh bercanggah dengan jadual persembahan di Jakarta.

"Tapi, kami percaya Zepp Kuala Lumpur akan penuh dengan kehadiran peminat dangdut kerana ia konsert yang julung kali diadakan," katanya.

Selaras dengan perubahan itu, Jeffri berkata, lokasi yang lebih kecil dari perancangan asal sudah pasti mempunyai pelbagai perubahan strategi termasuklah perubahan harga.

"Harga sangat berpatutan kerana kami mempersembahkan tujuh artis termasuk DJ Dugem. Matlamat kami memberikan kepuasan kepada peminat yang hadir pada malam konsert.

"Kepada pembeli tiket sedia ada sebelum ini kami akan memaklumkan kedudukan zon baharu yang akan ditempatkan menggantikan zon lama melalui e-mel," katanya.

Berita Harian X