Khamis, 28 Disember 2023 | 1:00pm
Dari kiri, Arash, Nik Amir dan Luqman Hafidz pada majlis tayangan perdana filem Dalang di MBO Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dari kiri, Arash, Nik Amir dan Luqman Hafidz pada majlis tayangan perdana filem Dalang di MBO Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Dalang bongkar kisah kegiatan 'scammer'

KUALA LUMPUR: Membongkar kebenaran sememangnya tugas hakiki seorang wartawan. Namun, bagaimana jika kebenaran dicari hanyalah hiasan yang dimanipulasi oleh dalang?

Menyingkapnya, sutradara, Nik Amir Mustapha tampil dengan naskhah terbaharu bergenre jenayah dan misteri berjudul Dalang.

Dibintangi oleh Luqman Hafidz, Liyana Jasmay, Wan Raja, Nesa Idrus, Arash Mohamad, Aziz M Osman, Imuda, Idan Aedan, Megat Adli, Abi Madyan, Yuyun Hikmah dan Fadhli Masoot, filem terbitan Lumatic Films itu sudah mula ditayangkan di platform penstriman, Tonton sejak 20 Disember lalu.

Berkongsi mengenai inspirasi filem Dalang, Nik Amir berkata, kes penipuan wang ringgit atau 'scam' yang semakin berleluasa memberikan idea untuk mengetengahkan kisah dalam filem Dalang.

"Kisah ini diinspirasi dari hasil bacaan kes 'scammer' yang banyak didengar berlaku dalam negara.

"Kebelakangan ini kita juga tahu ramai kena tipu dengan 'scammer' ini.

"Jadi, Dalang adalah naskhah di mana saya mahu kupas siapa di belakang niat jahat dan baik. Dalam masa sama, ia juga keinginan saya untuk mendalami dan bermain dengan motivasi mangsa dan 'scammer' itu sendiri.

"Namun, semua diketengahkan dalam kisah ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) negara, ia hanyalah isu yang saya pilih bila duduk bersama produksi.

"Kami sudah tengok kisah 'scammer' sebelum ini, jadi saya sampaikan dalam naskhah ini," katanya kepada BH Online.

Nik Amir berkongsi, kes penipuan wang ringgit yang semakin berleluasa memberikan idea mengetengahkan kisah dalam filem Dalang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Nik Amir berkongsi, kes penipuan wang ringgit yang semakin berleluasa memberikan idea mengetengahkan kisah dalam filem Dalang. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Nik Amir yang pernah berjaya menerusi filem Imaginur sebelum ini berkata, dia optimis dengan filem Dalang kerana ia mengetengahkan barisan pelakon yang bagus, justeru tiada kesukaran yang perlu dilalui dalam menguruskan pelakon.

"Cabarannya boleh dikatakan senang disebabkan barisan pelakon dan saya berseronok hasilkan filem Dalang bersama mereka.

"Sebab kerja pengarah 60 peratus daripadanya adalah pelakon, sebab itulah kami pilih pelakon yang bagus.

"Alhamdulillah, semuanya bagus dan menghidupkan watak masing-masing dengan baik.

"Apatah lagi bekerja dengan pelakon dan pengarah, Aziz M Osman. Beliau seorang yang memberi kerjasama dan hadir sebagai pelakon, bukannya pengarah.

"Bagi saya, mereka lagi hebat berlakon, jadi saya gunakan kemahiran mereka dalam naskhah ini.

"Saya bersyukur dan bernasib baik dapat bekerja dengan barisan pelakon hebat ini," katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem Dalang di MBO Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dalang mengisahkan mengenai Zain (Luqman Hafidz) yang sering berhadapan dengan pelbagai rintangan baik dalam tugasnya sebagai wartawan jenayah bebas mahupun kehidupan peribadi.

Zain mempunyai caranya yang tersendiri membuatkan dirinya sering mendapat informasi dalam menjejak berita mengenai aktiviti jenayah kolar putih.

Kepakaran Zain dalam membongkar rahsia jenayah kolar putih membuatnya didekati oleh kumpulan bebas yang nekad untuk membantu mangsa tertindas dek penyalahgunaan kuasa.

Ikhlas (Aziz) adalah ahli perniagaan dan pendakwah terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Dia juga menjalankan operasi rahsia bersama Ayu (Liyana Jasmay).

Pertemuan Zain, Ayu dan Ikhlas itu sekali gus membuka papan percaturan menangkap dalang dalam kes kegiatan gelap oleh wakil penduduk tempatan iaitu Datuk Pin (Arash Mohamad).

Berita Harian X