Selasa, 26 Disember 2023 | 6:14pm
Heliza tidak berfikir panjang terima tawaran membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menuntutnya melakukan aktiviti sunnah seperti memanah dan berkuda. - NSTP/Genes Gulitah
Heliza tidak berfikir panjang terima tawaran membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menuntutnya melakukan aktiviti sunnah seperti memanah dan berkuda. - NSTP/Genes Gulitah

Heliza tangkas memanah sambil berkuda

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi mengakui sering melakukan solat sunat Istikharah sebelum membuat keputusan untuk menerima sebarang tawaran lakonan.

Heliza, 37, berkata langkah itu diambil supaya pilihan dibuat dapat memberi manfaat kepada penonton dan bukan sekadar menyajikan hiburan kosong.

Malah, bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata, dia juga seorang yang teliti sebelum memilih sebarang tawaran membabitkan kerjaya seni.

"Jika ditawarkan dengan mana-mana naskhah, saya akan buat solat sunat Istikharah untuk mendapatkan petunjuk, selain berbincang dengan suami dan keluarga.

"Saya juga akan mendapatkan nasihat guru agama. Sekiranya karya tersebut memberikan manfaat barulah saya akan teruskan," katanya kepada BH Online.

Justeru, Heliza meluahkan rasa gembira dan tidak berfikir panjang untuk menerimanya ketika mendapat tawaran membintangi filem terbaharu terbitan Studio Kembara iaitu Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menuntutnya melakukan aktiviti sunnah seperti memanah dan berkuda.

"Tawaran diberikan bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang selepas mula berjinak dalam sukan sunnah seperti memanah dan berkuda.

"Ia diibaratkan seperti impian menjadi kenyataan. Saya baru sahaja berjinak-jinak dalam sukan sunnah dan berangan-angan jika dapat kongsikan sukan ini kepada orang ramai.

"Tidak sangka doa saya dimakbulkan apabila ditawarkan berlakon bersama adik saya, Hazwani Helmi," katanya.

Heliza bersama barisan pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah pada majlis pelancaran Trailer & Lagu Runut Bunyi di Cyberjaya, baru-baru ini. - NSTP/Genes Gulitah
Heliza bersama barisan pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah pada majlis pelancaran Trailer & Lagu Runut Bunyi di Cyberjaya, baru-baru ini. - NSTP/Genes Gulitah

Menerusi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Heliza memegang watak Siti, iaitu seorang srikandi hebat dalam seni mempertahankan diri, selain tangkas dalam memanah dan berkuda.

Heliza berkata, untuk menjayakan watak Siti sememangnya mencabar kerana hampir kebanyakan babak aksi perlu dilakukan sendiri tanpa bantuan 'stuntman'.

"Hampir kebanyakan babak memanah dan berkuda, termasuk aksi pertarungan saya lakonkan sendiri. Hanya beberapa babak sahaja bukan saya kerana sedang mengerjakan ibadah umrah.

"Memang saya ada mengalami kecederaan, tapi tidaklah serius. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, malah pelakon lain serta kru produksi juga banyak membantu," katanya.

Selain Heliza, filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah turut dilakonkan Fattah Amin sebagai watak utama, Amir Ahnaf, Nadhir Nasar, Ali Karimi, Nur Fazura dan ramai lagi.

Filem diinspirasikan kisah benar itu menelan kos lebih RM10 juta dan dijadual ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 11 Januari depan.

Berita Harian X