Selasa, 26 Disember 2023 | 1:00pm
Luqman menyifatkan anaknya sebagai motivasi untuknya meneruskan kehidupan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Luqman menyifatkan anaknya sebagai motivasi untuknya meneruskan kehidupan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Anak kekuatan Luqman Hafidz lalui fasa sukar

KUALA LUMPUR: Bergelar bapa tunggal mengajar pelakon Luqman Hafidz, 31, menjadi insan lebih kuat dan tabah.

Memiliki cahaya mata, Eve Laura yang kini berusia tiga tahun menerusi perkahwinan bersama bekas isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi, Luqman mengakui kekuatannya datang daripada anak.

Luqman atau nama sebenar, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 31, berkata dia menyifatkan anaknya sebagai motivasi untuknya meneruskan kehidupan.

"Saya tahu ada orang bergantung kepada saya. Kalau sedih pasal kehidupan, apa pula jadi dengan anak?

"Eve baru berusia tiga tahun, sudah tentu saya menjadi panduan buatnya.

"Saya tak mahu berkongsi tenaga tidak baik dengan anak. Jadi, saya sentiasa mengambil pendekatan berfikiran positif.

"Bila fikir anak, ia seolah memberikan saya motivasi. Eve menjadi pemangkin semangat untuk saya mencari rezeki.

"Ketika bekerja saya niatkan rezeki untuk anak. Itu yang memudahkan kerja saya. Ini bukan ayat 'klise', tetapi ia betul-betul membantu saya melalui fasa kesukaran," katanya kepada BH Online.

Luqman bersama Nik Amir dan Arash Mohamad pada majlis tayangan perdana filem Dalang di MBO Cinemas, Atria Shopping Gallery, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Luqman bersama Nik Amir dan Arash Mohamad pada majlis tayangan perdana filem Dalang di MBO Cinemas, Atria Shopping Gallery, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Luqman berkata, dia percaya kepada ketentuan rezeki, kalau Allah kata tak jadi, maka tak jadi, begitu sebaliknya.

"Saya berlapang dada dengan segala-galanya. Fasa sekarang untuk saya terus bekerja dan bawa tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya," katanya.

Berkongsi mengenai hubungannya dengan bekas isteri, Luqman berkata, mereka tiada masalah.

"Nak berjumpa tiada masalah, jadi saya harap hubungan baik ini berterusan sampai bila-bila.

"Saya harap perpisahan tidak memberi kesan pada anak dan bekas isteri. Jika mereka gembira, saya lebih gembira," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Dalang terbitan Lumatic Films di MBO Cinemas, Atria Shopping Gallery, baru-baru ini.

Terdahulu, Luqman yang mencipta populariti menerusi filem Ola Bola memuat naik hantaran dalam Instagram (IG) mengesahkannya bercerai dengan Nurul Atiqah, tahun lalu. Mereka mendirikan rumah tangga pada 20 Mac 2020.

Berkongsi mengenai filem Dalang arahan Nik Amir Mustapha, Luqman berkata, dia adalah seorang peminat hasil kerja pengarah yang pernah menghasilkan filem Imaginur, Kil dan Nova itu.

"Saya dan Nik Amir memang berkawan baik, jadi tidak sukar bekerjasama kerana saling mengenali. Kita tahu kredibilitinya, tetapi Nik Amir mudah dan berterus-terang.

"Jadi, tidak banyak tekanan, cuma saya mahu berikan lakonan terbaik. Saya pula pikul bebanan bawa keseluruhan cerita, tapi Nik Amir buat saya selesa dan senang.

"Ia mencantikkan semua proses ini. Saya tak tahu kenapa Nik Amir pilih saya sebagai watak utama, tetapi saya percaya filem ini dapat menghiburkan penonton," katanya.

Selain Luqman, filem bergenre jenayah dan misteri itu turut dibintangi Aziz M Osman, Liyana Jasmay, Wan Raja, Nesa Idrus, Arash Mohamad, Imuda, Idan Aedan, Megat Adli, Abi Madyan, Yuyun Hikmah dan Fadhli Masoot.  

Ia sudah ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman, Tonton.

Berita Harian X