Selasa, 26 Disember 2023 | 11:00am
Fasha bersedia menjalani rawatan IVF dan kemungkinan memperlahankan kerjaya lakonan. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Fasha bersedia menjalani rawatan IVF dan kemungkinan memperlahankan kerjaya lakonan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Fasha rancang buat IVF

CYBERJAYA: Pelakon Fasha Sandha, 39, merancang menimang seorang lagi cahaya mata menerusi proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF), tahun hadapan.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia bersedia menjalani rawatan itu dan kemungkinan akan memperlahankan kerjaya lakonannya.

"Kalau ada rezeki saya dan suami, Aidil Aziz mahu anak lagi. Kalau ikut perancangan saya nak buat IVF dan mahu terus pilih jantina lelaki, tapi tak tahu lagi sebab ini semua kerja Tuhan.

"Kita hanya mampu merancang, kalau ada rezeki, insya-Allah.

"Sebenarnya tak jumpa lagi doktor mendapatkan maklumat, jadi kami belum tahu macam mana. Saya akan jumpa doktor selepas habis penggambaran drama untuk minta nasihat dahulu.

"Saya kena selesaikan komitmen yang ada seperti penggambaran drama Malang Si Puteri sehingga Februari depan. Dari segi duta, kalau saya mengandung pun tetap boleh jadi duta," katanya kepada BH Online.

Fasha sudah lama menyimpan niat mengadakan majlis penghargaan buat keluarga, rakan media dan ahli kelab peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Fasha sudah lama menyimpan niat mengadakan majlis penghargaan buat keluarga, rakan media dan ahli kelab peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Aidil berkata, mereka memang berhasrat menambah seorang lagi cahaya mata selepas dikurniakan anak perempuan, Aisha Amaira, 4.

"Kalau ikut perancangan Fasha kena kurangkan penggambaran sebab memerlukan tenaga setiap hari. Untuk trimester pertama kena berjaga-jaga," katanya yang membintangi filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Fasha dan Aidil ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran bersama adiknya, Elisya Sandha di Bizmilla Ariz Hall, di sini, malam tadi.

Berkongsi majlis berkenaan, Fasha berkata, dia sudah lama menyimpan niat mengadakan majlis penghargaan buat keluarga, rakan-rakan termasuk kelab peminatnya yang sentiasa menyokong selama ini.

"Saya hanya mahu berterima kasih kepada barisan 'boss', keluarga, sahabat media dan kelab peminat. Kelab peminat sudah lama dengan saya sejak 16 tahun lalu. Alhamdulillah dapat peminat setia juga adalah rezeki buat kami.

"Sebenarnya saya dan suami sudah niat mahu mengadakan majlis sejak dua tahun lalu. Jadi, kami buat majlis ringkas, tahun ini.

"Alhamdulillah ini juga sebab kerjaya seni kami berjalan dengan baik, Aidil dengan filem yang baru selesai penggambaran dan begitu juga Elisya," katanya.

Untuk karier lakonan, Fasha kini sibuk menyiapkan penggambaran drama Malang Si Puteri sehingga Februari tahun depan, terbitan Radius One Sdn Bhd yang akan disiarkan Astro Ria.

Berita Harian X