Isnin, 25 Disember 2023 | 4:00pm
Tunku Mona bersama barisan pelakon ketika majlis pelancaran poster dan trailer filem Rain Town di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Tunku Mona bersama barisan pelakon ketika majlis pelancaran poster dan trailer filem Rain Town di ibu negara, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Tunku Mona menongkah arus hasil filem Kantonis

KUALA LUMPUR: Bukan perkara pelik bagi pengarah berbangsa asing mengarahkan filem berbahasa Melayu.

Ada antara hasil kerja pengarah diterima ramai hingga karya dihasilkan mendapat kutipan pecah panggung.

Situasi itu sudah dapat dilihat sejak zaman Studio Jalan Ampas lagi apabila ramai pengarah berketurunan India mengarahkan filem Melayu.

Justeru, bukan masalah besar buat pengarah filem Rain Town, Tunku Mona Riza apabila naskhah sentuhannya menampilkan pelakon berbangsa Cina dan menggunakan dialog dalam bahasa Kantonis.

Tunku Mona berkata, dia tetap berdepan cabaran tersendiri berikutan terdapat perbezaan dari segi latar budaya dan bahasa.

"Pada mulanya ramai mempersoalkan mengapa saya bikin filem berkisar keluarga Cina. Saya sukakan cabaran dan ketika hasilkan filem Redha, saya tampil dengan kisah kanak-kanak autism, sedangkan saya tiada anak autism.

"Terbukti filem ini diterima ramai dan sudah pergi ke banyak acara festival seluruh dunia. Dalam situasi ini, bukan saya tak mahu arahkan filem Melayu, tetapi saya mahu tampil kelainan dalam setiap filem.

"Untuk filem ini, skrip dihasilkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Selepas puas hati dengan hasilnya, barulah saya bawa kepada penterjemahan dalam bahasa Kantonis.

"Selain bantuan penyelia yang memantau dari segi ketepatan dialog, saya juga menggunakan kaedah kata kunci penting bagi memudahkan saya memahami dialog yang dilontarkan pelakon.

"Walaupun mereka banyak buat 'ad-lip', tapi dengan memahami kata kunci yang dilontarkan, kerja penggambaran menjadi mudah dan setiap dialog dilafazkan kedengaran lebih organik.

"Ekspresi lebih hidup bila tak terlalu terikat dengan skrip," katanya kepada BH Online.

Mengakui apa yang dilakukannya menongkah arus, Tunku Mona meluahkan rasa syukur masih ada pihak yakin dengan kemampuannya mengarahkan filem bahasa Kantonis.

"Tak dinafikan, ada yang pandang rendah bila saya menyatakan hasrat mengarahkan filem bahasa Kantonis. Ini kerana mereka sangsi dengan kemampuan saya.

"Mereka ini kebanyakannya orang luar dan bukan daripada pasukan produksi atau pelakon.

"Hanya selepas mereka melihat draf pertama skrip, barulah mereka sedar yang saya boleh melakukannya.

"Bagaimanapun, pasukan produksi saya ada juga bantu betulkan beberapa perkara yang didapati bertentangan dengan budaya orang Cina.

"Contohnya, saya meminta watak bapa, Mr Choo memegang tangan isterinya, Aileen. Namun, pasukan produksi beritahu jarang pasangan berusia berpegang tangan dalam masyarakat Cina.

"Bagaimanapun, watak Aileen lakonan Susan Lankester digambarkan sebagai wanita berdarah campuran Cina dan Inggeris. Berpegang kepada lesen kreatif, babak ini dapat dihasilkan," cerita Tunku Mona ditemui pada majlis pelancaran poster dan trailer filem Rain Town di ibu negara, baru-baru ini.

Tunku Mona berdepan cabaran tersendiri berikutan terdapat perbezaan dari segi latar budaya dan bahasa mengarahkan filem Kantonis. - NSTP/Rohanis Shukri
Tunku Mona berdepan cabaran tersendiri berikutan terdapat perbezaan dari segi latar budaya dan bahasa mengarahkan filem Kantonis. - NSTP/Rohanis Shukri

Sementara itu, Tunku Mona berkata, dia amat teliti dalam pemilihan pelakon bagi bersesuaian dengan karakter yang dibawakan.

"Ada antara pelakon yang terpilih perlu menjalani sesi uji bakat banyak kali meskipun mempunyai nama besar.

"Ketika itu, uji bakat dijalankan secara dalam talian kerana negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, saya juga pernah meminta seorang pelakon yang membawa watak anak menghantar foto bahagian wajah dari pelbagai sudut kerana mahu memastikan bentuk hidung asli, bukan hasil pembedahan.

"Memang agak pelik, tetapi ia perlu kerana saya mahu wajah tak kelihatan pelik dalam visual filem," ungkapnya.

Selain Susan, filem bergenre drama ini turut dibintangi Chew Kin Wah, Fabian Lou, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Belum pun ditayangkan secara rasmi di Malaysia, filem sudah mengembara ke beberapa negara apabila terpilih menyertai festival filem antarabangsa.

Antaranya, China, India, Amerika Syarikat, Kanada dan Indonesia serta mendapat maklum balas positif daripada penonton antarabangsa.

Poster filem Rain Town dirombak menjadi lebih ceria memandangkan poster asal dianggap tidak sesuai dengan masyarakat Cina yang tidak begitu menggemari warna gelap.

Rain Town bakal menemui khalayak di pawagam sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 8 Februari tahun depan.

Berita Harian X