Isnin, 25 Disember 2023 | 8:30am
Kang Ren ubah penampilan agar tidak kelihatan seperti warga asing dalam filem Malaysia. - NSTP/Asyraf Hamzah
Kang Ren ubah penampilan agar tidak kelihatan seperti warga asing dalam filem Malaysia. - NSTP/Asyraf Hamzah

Berlapar, hanya minum air tiga hari demi watak

KUALA LUMPUR: Ternyata usaha jitu ditampilkan aktor dari Taiwan, Wu Kang Ren, 41, untuk menghidupkan watak Abang dalam filem berjudul Abang Adik berbaloi apabila trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 menjadi miliknya.

Menerusi filem sulung arahan sutradara kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong itu, Kang Ren mendedahkan sanggup berjemur di bawah terik mentari semata-mata mahu mendapatkan tona kulit sawo matang seperti kebanyakan rakyat Malaysia.

"Semasa menginap di hotel untuk menjalani penggambaran filem Abang Adik, saya akan berjemur di kawasan kolam renang, setiap hari.

"Saya akan biarkan bahagian depan dan belakang saya terdedah kepada matahari sebagai usaha dapat menggelapkan sedikit kulit supaya dapat kelihatan seperti masyarakat setempat.

"Sampaikan ada satu ketika pekerja di hotel dan beberapa pengunjung lain rasa pelik sebab selalu tengok saya berjemur sahaja. Disebabkan cuaca agak panas di sini, jadi kulit saya banyak yang menggelupas.

"Kulit juga bertukar menjadi kemerah-merahan selepas berjemur. Bagaimanapun, saya tetap buat banyak kali supaya kulit saya kelihatan semula jadi," katanya kepada BH Online.

Kang Ren berkata, apa yang mendorongnya melakukan perkara itu adalah disebabkan tidak mahu dilihat seperti warga asing, malah memahami itu juga sebahagian daripada tugasnya sebagai pelakon.

"Hari pertama tiba di Malaysia, kru produksi bawa saya sekitar Pudu untuk melihat kawasan penggambaran yang bakal saya jalani. Pada ketika itu, saya memang seperti orang asing dan itulah pandangan warga tempatan kepada saya.

"Maksudnya, saya tak nampak seperti seperti orang Malaysia. Disebabkan itu, saya cuba untuk gelapkan kulit dan cuba belajar perkara lain supaya dapat dilihat sebagai orang Malaysia," katanya.

Kang Ren bergandingan bersama pelakon Malaysia, Jack Tan memainkan watak anak yatim piatu yang hidup tanpa dokumen dalam filem Abang Adik. - NSTP/Asyraf Hamzah
Kang Ren bergandingan bersama pelakon Malaysia, Jack Tan memainkan watak anak yatim piatu yang hidup tanpa dokumen dalam filem Abang Adik. - NSTP/Asyraf Hamzah

Bukan itu sahaja, Kang Ren juga tidak teragak-agak menurunkan berat badan sehingga 20 kilogram (kg) demi watak Abang.

"Disebabkan filem ini, saya menurunkan berat badan supaya kelihatan sesuai dengan watak orang susah yang dibawa. Berat asal saya lebih 70kg, kemudian saya turunkan sehingga 60kg sebelum memulakan penggambaran.

"Selepas itu, saya turunkan lagi sehingga 50kg demi menjayakan babak ketika dimasukkan dalam penjara. Tiga hari sebelum memulakan penggambaran babak, saya hanya minum air sahaja dalam kuantiti yang banyak tanpa ambil sedikit pun makanan," katanya.

Terdahulu, Kang Ren diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 pada majlis yang berlangsung di Sun-Yat Sen Memorial Hall, Taipei, Taiwan.

Lantaran itu, Kang Ren dalam ucapannya mengucapkan terima kasih pada pasukan produksi dari Malaysia yang banyak membantunya.

Menerusi filem Abang Adik, Kang Ren bergandingan bersama pelakon tempatan, Jack Tan memainkan watak anak yatim piatu yang hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Abang Adik menjengah 82 pawagam di Malaysia sejak 14 Disember lalu.

Berita Harian X