Ahad, 24 Disember 2023 | 11:00am
Ash tertarik dengan sifat pendiam, kelakar dan bijak Amylea selepas diperkenalkan oleh seorang rakan menerusi media sosial. - NSTP/Asyraf Hamzah
Ash tertarik dengan sifat pendiam, kelakar dan bijak Amylea selepas diperkenalkan oleh seorang rakan menerusi media sosial. - NSTP/Asyraf Hamzah

Amylea tepis persepsi bernafsu 'songsang'

KUALA LUMPUR: Kisah percintaan pasangan ini mungkin tidak sehebat Laila dan Majnun yang tidak mengenal darjat atau Romeo dan Juliet yang sanggup mempertaruhkan nyawa hingga dianggap agung dalam lambang cinta sejati.

Bagi penyanyi dan komposer yang baru bergelar isteri, Amylea Azizan, hikayat cinta bersama suami, Mohammad Aqbar Mohamad atau Ash tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Meskipun hubungan terjalin tidak dicanang dan hanya diumumkan selepas sah bergelar suami isteri, namun Amylea anggap momen seperti itulah yang didambakan kerana lebih selesa kisah peribadi kekal menjadi misteri.

"Kisah cinta kami seperti orang dulu-dulu. Saya tahu ada dalam kalangan kawan-kawan yang impikan cara perkenalan begini.

"Sebabnya zaman sekarang orang kenal dulu, lepas itu bercinta lama-lama.

"Tempoh perkenalan kami cukup singkat dan diperkenalkan oleh seorang rakan menerusi media sosial, tetapi akaun lain dan bukan sekarang ini.

"Saya bukanlah seorang yang suka keluar 'dating'. Kami hanya berjumpa selepas suami melamar, itupun dengan ditemani rakan kerana tak selesa keluar berdua.

"Selepas berjumpa, saling mengenali dan mendapat restu keluarga, kami terus mendirikan rumah tangga. Mungkin ini juga adalah doa ibu," katanya kepada BH Online.

Amylea berkata, dia sebenarnya sudah tak mengharapkan dunia perkahwinan.

"Tapi, tiba-tiba saya berjumpa orang yang sesuai dan suka dengan cara berjumpa selepas dilamar.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dapat melalui kisah percintaan sama macam ibu dan arwah ayah.

"Bukan saya seorang tetapi turut diimpikan pasangan lain," katanya.

Ketika mengumumkan berita berkahwin dengan pegawai bomba dari Singapura, penyanyi lagu Kendati itu enggan mendedahkan butiran terperinci mengenainya hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Mengulas perkara itu, Amylea menjelaskan, dia tidak berniat merahsiakan berita baik daripada pengetahuan umum.

Amylea tepis persepsi bernafsu songsang selepas mendirikan rumah tangga bersama Ash pada penghujung November lalu. - NSTP/Aziah Azmee
Amylea tepis persepsi bernafsu songsang selepas mendirikan rumah tangga bersama Ash pada penghujung November lalu. - NSTP/Aziah Azmee

Sebaliknya, Amylea berkata, keputusan terpaksa diambil atas permintaan keluarga.

"Saya memang tak berniat nak berahsia, tetapi sekadar memenuhi permintaan keluarga yang tidak mahu saya berkongsi tarikh demi menjaga hati beberapa pihak. Lagipun ia terlalu peribadi buat kami.

"Saya tahu ramai terkejut apabila mendapat tahu yang saya sudah berkahwin. Ini kerana mereka tak pernah nampak saya ada teman lelaki hingga ada yang menyangkakan saya bernafsu songsang," dedah penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim ketiga ini.

Berkongsi kehidupannya selepas berkahwin, penyanyi yang terkenal dengan imej rambut kerinting ini mengakui belum berkesempatan untuk menjalankan tugas sebagai isteri.

"Sekarang kami dalam fasa lebih mengenali antara satu sama lain. Banyak benda yang ingin dilakukan kali pertama sebagai pasangan suami isteri termasuklah menonton wayang bersama.

"Saya nak juga tahu makanan kegemarannya," ujarnya sambil ditemani suami tercinta di sisi.

Pada 27 November lalu, Amylea mengumumkannya dan Ash disatukan pada majlis akad nikah di rumah kediaman keluarganya di Sungai Petani, Kedah.

Dalam majlis dibuat secara tertutup, Amylea menerima mas kahwin senaskhah al-Quran, telekung dan wang hantaran bernilai RM8,888.

Sementara itu, Ash mendedahkan, dia tidak mengetahui isterinya itu seorang penyanyi hinggalah perkara itu dimaklumkan oleh abangnya.

"Saya memang tak tengok AF dan layan lagu ciptaan isteri kerana kebanyakan lagunya berentak perlahan. Saya pula suka band dari Indonesia.

"Bila saya perkenalkan kepada keluarga, abang beritahu yang Amylea seorang penyanyi dan komposer.

"Saya suka kepadanya kerana seorang pendiam, kelakar dan bijak.

"Bila sudah kenal kadang-kadang kami boleh bersembang sampai jam 5 pagi. Memandangkan bekerja di Singapura, saya kenalah ulang-alik.

"Walaupun tak selesa dengan 'limelight' terutama apabila kena temuramah seperti ini, tapi suka atau tidak, saya terpaksalah hadapi walaupun kadang-kadang tertekan juga," luah Ash.

Sempena pernikahannya, Amylea turut mencipta sebuah lagu khas untuk suami tercinta berjudul Panji Putih Buat Pangeran.

Lagu ciptaannya Selagi Ku Ada nyanyian Khai Bahar dan Nabila Razali terpilih antara 30 lagu yang bakal berentap di Muzik-Muzik 39 Separuh Akhir (SFMM 38).

Berita Harian X