Jumaat, 22 Disember 2023 | 1:00pm
Khai, Amylea dan Nabila mempertaruhkan lagu Selagi Ku Ada pada AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Mac depan. Foto IG Nabila Razali
Khai, Amylea dan Nabila mempertaruhkan lagu Selagi Ku Ada pada AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Mac depan. Foto IG Nabila Razali

Nabila Razali elak ulangi insiden 'terkucil' di pentas AJL 38

SHAH ALAM: Nabila Razali yang pernah berdepan insiden 'terkucil' ketika mendendangkan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 pada 2021 hingga teruk dikecam, enggan menoleh ke belakang lagi.

Justeru, Nabila, 31, berharap dapat menebus kembali detik itu dengan memberi persembahan terbaik pada AJL 38, Mac depan, menerusi lagu Selagi Ku Ada yang turut menampilkan rakan duet, Khai Bahar.

"Tipu kalau saya kata tak ada rasa trauma, tentunya perasaan itu ada. Saya cuba letak perasaan itu ke tepi dan ingin beri fokus untuk membuat persembahan pada AJL 38.

Nabila bersyukur teman duet, Khai, banyak menaikkan semangat untuk beraksi pada AJL 38, kelak. Foto IG Nabila Razali
Nabila bersyukur teman duet, Khai, banyak menaikkan semangat untuk beraksi pada AJL 38, kelak. Foto IG Nabila Razali

"Apa yang sudah lepas, biarkan berlalu. Sekarang ini masa untuk saya fokus kepada Selagi Ku Ada. Lagu ini sangat bagus," katanya pada sidang media hari ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di Studio 1, Glenmarie di sini, Ahad lalu.

Nabila bersyukur Khai yang menjadi rakan duet, sama beraksi, sekaligus menaikkan semangat untuk memberi persembahan terbaik.

"Alhamdulillah, dengan adanya Khai dan pasukan yang sering menyokong, saya anggap ia suatu kelebihan dan memberi keyakinan kepada saya.

"Sebelum ini (pada AJL 35) keseorangan, tapi kali ini berduet," kata bekas peserta musim ke-10 program realiti, Akademi Fantasi (AF10) pada 2013.

Nabila bersyukur diberi peluang oleh komposer dan penulis lirik Selagi Ku Ada, Amylea Azizan, biarpun tanggapan ramai konon dirinya tidak boleh menyanyi secara langsung masih kuat.

"Saya hanya mampu bersyukur sahaja. Itu kena tanya kepada tuan lagu kerana dia yang beri kepercayaan itu dan peluang," katanya.

Sementara itu, Amylea berkata sebagai penulis lirik, dia lebih suka bekerjasama dengan penyanyi yang sentiasa berusaha keras menjadi lebih baik.

"Ini semua mengenai kerja keras. Begitu juga dengan Nabila dan Khai, mereka sangat rajin dan berusaha keras. Perkara ini tak akan jadi kalau sebab lagu itu sahaja yang sedap.

"Sesiapa sahaja boleh menyanyi. Tetapi, kerajinan untuk berusaha menjadi lebih baik membezakan setiap penyanyi. Walaupun penyanyi itu dahsyat macam mana sekalipun, tapi kalau pemalas, tidak akan ada satu lagu pun boleh naikkan dia," katanya.

Pada SFMM 38, Selagi Ku Ada diumum antara 12 lagu yang layak bersaing di pentas AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan.

Berita Harian X