Khamis, 21 Disember 2023 | 3:00pm
Ziana dan Hasif ketika membuat persembahan pada SFMM 30 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini. Foto IG TV3
Ziana dan Hasif ketika membuat persembahan pada SFMM 30 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini. Foto IG TV3

Ziana akui gugup beraksi di pentas AJL 38

SHAH ALAM: Kali terakhir bersaing pada edisi ke-23, Anugerah Juara Lagu (AJL), kira-kira 15 tahun lalu, Ziana Zain diburu rasa bimbang untuk mempersembahkan single duet Waktu bersama Hasif Upin, pada AJL 38, Mac depan.

Sama seperti finalis lain, Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain mengaku gugup, biarpun bersyukur lagu dendangan layak mara ke pentas akhir.

"Lebih-lebih lagi Hasif, kali pertama bersaing di AJL. Hasif beritahu, dia takut. Saya cakap, jangan takut, tengok sahaja muka saya apabila berada di pentas.

"Alhamdulillah, setakat ini, kami sudah cuba yang terbaik. Saya mengaku, sebagai penyanyi lama, rasa kecut itu ada. Tetapi, kita tenang. Kita mewakili pencipta dan penulis lirik lagu, jadi, kita jadi penyampai.

Ziana mengaku gugup untuk beraksi di pentas AJL 38, namun, bersyukur lagu dendangan layak mara ke pentas akhir. Foto IG Ziana Zain
Ziana mengaku gugup untuk beraksi di pentas AJL 38, namun, bersyukur lagu dendangan layak mara ke pentas akhir. Foto IG Ziana Zain

"Apabila kita sampaikan dengan baik, Alhamdulillah," katanya ditemui pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.

Single Waktu dihasilkan komposer dan penulis lirik iaitu Firdaus Rahmat, Iqie Hugh dan John Jeeves, diumum antara 12 finalis AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan.

Bagi Ziana, semua finalis AJL 38 memiliki kekuatan sendiri.

"Saya sangat bersyukur biarpun pada usia 55 tahun, saya masih ada di arena ini, menyanyi dan bertanding di pentas AJL. Biarpun, ramai kawan cakap sudah tidak kuasa dan malas hendak bertanding.

"Melihat pencipta lagu dan penulis lirik, saya ada tanggungjawab memberi persembahan terbaik," katanya yang berharap dikurnia kesihatan baik untuk tampil di pentas AJL 38.

Apa yang menarik, pada AJL 38, Ziana akan berentap dengan anak saudaranya, Ernie Zakri, yang mempertaruhkan lagu Astana.

Ziana mengaku meletakkan harapan single Astana bertanding di AJL 38. Ziana tahu Ernie sudah bekerja keras sejak bertapak dalam dunia muzik.

"Saya tengok Ernie sejak dia kecil. Pada majlis kahwin saya pun, Ernie menyanyi untuk saya. Selepas itu, dia masuk bertanding di RTM, buat album, namun tidak dapat sambutan.

"Alhamdulillah, dengan usaha kuat, Allah bagi rezeki. Saya sangat berharap, suatu hari nanti, Ernie akan berada di mana yang dia mahu. Kita sebagai penyanyi, mahu ada tahap kita sendiri. Lihat Aina Abdul, dia bekerja keras," katanya.

Berita Harian X