Rabu, 20 Disember 2023 | 5:31pm
Isma masih perlu dipantau di hospital berikutan masih lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Foto HM Online.
Isma masih perlu dipantau di hospital berikutan masih lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Foto HM Online.

Isma Aliff beri tindak balas melalui mata dan jari tangan

KUALA LUMPUR: Artis versatil era 1980-an, Isma Aliff, 59, sudah sedar daripada ditidurkan dan dapat memberi tindak balas melalui mata serta pergerakan jari tangan.

Adiknya, Shamsidah Ismail, 57, berkata, Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail bagaimanapun masih perlu dipantau di hospital berikutan masih lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Sekarang, abang masih lagi bergantung kepada alat pernafasan, tapi, dia sudah dalam keadaan sedar. Dia dah boleh buka mata dan respon melalui mata dan gerakan jari tangannya. Cumanya, belum boleh bercakap.

"Setakat ini, doktor masih lagi nak pantau keadaannya. Insya-Allah, dalam dua ke tiga hari lagi, kalau dia dah dapat bernafas sendiri, tak perlu lagi gunakan alat bantuan pernafasan," katanya kepada Harian Metro.

Namun, tahap oksigennya masih lagi tidak stabil dan turun secara tiba-tiba.

"Ahad lalu, jururawat bertanya sama ada, kalau abang dibenarkan pulang, ada sesiapa yang akan menjaganya atau bagaimana.

"Saya maklumkan, rumah saya tak jauh dengan rumah abang dan ibu, jadi saya boleh bantu jaga abang. Memang perancangan semuanya dah dipersiapkan untuk menyambut kepulangan abang.

"Tapi, nak dijadikan cerita, pada Ahad malam, tahap oksigennya mula menurun dan doktor maklumkan, ada jangkitan kuman dalam paru-paru serta jantungnya bengkak.

"Itu adalah kesan daripada angin ahmar yang menyerangnya. Apa pun, Alhamdulillah sebab saya nampak keadaan abang semakin menunjukkan kemajuan," katanya.

Terdahulu, Isma diserang kebas di bahagian kaki dan tangan ketika sedang menguruskan ibunya yang terlantar di rumah. Shamsidah kemudiannya membawa abangnya ke klinik, sebelum dinasihatkan untuk terus ke unit kecemasan hospital.

"Abang diserang angin ahmar ketika berada di rumah, saat sedang menguruskan ibu kami yang memang terlantar di katil. Tiba-tiba, kepalanya macam 'melayang', seterusnya tangan kakinya mula kebas.

"Apabila saya bawa ke klinik, doktor maklumkan bahawa tekanan darahnya naik sehingga ke angka 240 dan perlu dibawa ke hospital," katanya.

Isma yang popular menerusi beberapa karya era 1980-an pernah membintangi beberapa filem antaranya Marah-Marah Sayang, Jaket Biru, Sayang Ibu dan banyak lagi.

Berita Harian X