Selasa, 19 Disember 2023 | 3:09pm

Jenazah Allahyarham M Daud Kilau selamat dikebumikan

BAGAN DATUK: Jenazah bintang legenda, Allahyarham Datuk M Daud Kilau, 85, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham M Daud tiba di Masjid Tuminah Hamidi jam 9.17 pagi tadi. Ini disusuli solat jenazah yang disertai hampir 400 jemaah diketuai Imam Zulfadil Ismail, pada jam 1.40 petang, iaitu selepas Zohor.

Jenazah Allahyarham M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, pada jam 2.30 petang. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Jenazah Allahyarham M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, pada jam 2.30 petang. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di sini, pada jam 1.55 petang dan selamat dikebumikan, kira-kira 35 minit kemudian.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila kira-kira 200 ahli keluarga, penduduk setempat, artis dan peminat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham M Daud.

Kira-kira 200 ahli keluarga, penduduk setempat, artis dan peminat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk M Daud di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, hari ini. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Salah seorang teman seperjuangan arwah, iaitu penyanyi veteran, Datuk DJ Dave, 75, menyifatkan pemergian Allahyarham M Daud suatu kehilangan besar kepada industri muzik dan tiada galang ganti.

"Kami berkawan sejak 50 tahun lalu. Kami banyak menyanyi dan berkongsi pentas. Ketika aktif, arwah suka jahit baju labuci yang dipakai ketika berada di belakang pentas.

"Arwah akan siapkan baju yang dimahukan. Walaupun arwah boleh sahaja gayakan baju labuci lain, namun, demi menghiburkan peminat, beliau komited memberi yang terbaik," katanya.

DJ Dave yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) berkata, pihaknya memberi pencen bulanan sebanyak RM500 kepada Allahyarham M Daud atas sumbangan besarnya kepada dunia seni.

Allahyarham M Daud meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah ketika dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI), Teluk Intan, pada jam 4.46 petang semalam.

Anak kedua Allahyarham M Daud, Ahmad Zaini (tengah) menabur bunga dan daun pandan ke atas pusara di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, hari ini. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Berita Harian X