Selasa, 19 Disember 2023 | 1:00pm
Finalis 12 lagu bakal berentap di pentas berprestij, AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Finalis 12 lagu bakal berentap di pentas berprestij, AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan. Foto NSTP Rohanis Shukri

TV3 pertahan AJL platform rai karyawan tempatan

SHAH ALAM: Sejak dianjurkan hampir empat dekad lalu, Anugerah Juara Lagu (AJL) utuh dengan misi dan visi memartabatkan hasil seni karyawan tempatan, suatu inisiatif yang wajar diberi lebih perhatian daripada kalangan penggiat industri muzik dan rakaman di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof berkata, program Muzik Muzik dan AJL adalah medan bagi meraikan karyawan tempatan saban tahun.

"Walaupun kita banyak terima permohonan daripada negara luar, iaitu nusantara, untuk memasukkan lagu gubahan negara serantau, tetapi, kami kekalkan syarat asal demi mengutamakan hasil karya tempatan.

"Kami sanggup berbelanja besar, tidak berkira, anjur acara di stadium dan sentiasa mahu beri yang terbaik.

"Kita tahu ada acara hiburan yang dianjurkan persatuan (berkaitan industri muzik dan rakaman), tetapi sudah lama tidak dilaksanakan.

Lagu duet Khai dan Nabila berjudul Selagi Ku Ada turut bersaing pada AJL 38. Foto NSTP Rohanis Shukri
Lagu duet Khai dan Nabila berjudul Selagi Ku Ada turut bersaing pada AJL 38. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku kerana ini tidak adil kepada artis, komposer dan industri muzik itu sendiri," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 yang menyaksikan 12 lagu bakal bersaing di pentas AJL Ke-38 di Studio 1, Glenmarie di sini, kelmarin.

Akhir-akhir ini, tumpuan beralih kepada penganjuran SFMM 38 apabila ada calon menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi tidak berpuas hati dengan syarat dan terma yang ditetapkan penganjur.

Tidak menganggap apa yang berlaku sebagai tindakan boikot pihak tertentu terhadap penganjuran AJL 38, Nini berkata, apa yang berlaku adalah permintaan biasa yang dikemukakan pihak terbabit serta tidak perlu diperbesarkan.

"Mengenai permintaan atau kenyataan persatuan terbabit, saya fikir itu adalah normal. Kami juga ada berbincang dengan Meta dan Google serta beberapa persatuan muzik lain.

"Kita ada banyak persatuan seperti persatuan muzik, filem dan drama. Sudah semestinya ada perbincangan berterusan antara kami.

"Sebagai penganjur, kami ada terma dan syarat sendiri. AJL adalah suatu penganjuran. Kalau hendak masuk AJL, peserta iaitu komposer dan penyanyi kena faham kita ada terma dan syarat yang sudah ditetapkan... Itu sahaja.

"Saya fikir amat malang jika AJL dijadikan pertempuran di luar pentas, bukannya menjadi medan pertempuran sebenarnya," katanya.

Mengulas dakwaan wujud klausa yang tidak dipersetujui persatuan muzik terbabit yang dikatakan mencetuskan krisis, Nini berkata, pihak terbabit tidak berhak membangkitkan perkara yang dianggap tiada kena mengena dengan mereka.

"Apa yang pihak terbabit bangkitkan adalah di luar bidang kuasa mereka. Daripada segi televisyen (TV) dan 'online', ia adalah dua perkara berbeza. Tetapi, terpulanglah kepada mereka," katanya.

Kelmarin, komposer dan penyanyi muda diumum mendominasi keputusan SFMM 38 pada siaran langsung TV3 dari Studio 1.

Bakat muda dilihat menguasai kebanyakan daripada 12 lagu yang bakal berentap di pentas AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 3 Mac depan.

Dua belas finalis terpilih adalah Jangan Mati Rasa itu (Aina Abdul/Aina Abdul), Bintang (Hael Husaini/Hael Husaini); Astana (Ernie Zakrie/ Ernie Zakrie, Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman).

Lagu lain yang berjaya ke pentas AJL 38 adalah Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno); Santai (Naqiu/Faizal Tahir); Inilah Jalannya (Masdo/Noh Salleh) dan Darah (Marsha Milan/Naim Daniel dan Firdaus Rahmat).

Turut bersaing Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari) dan Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A. Ramlee dan Ezra Kong/A. Ramlee dan Ezra Kong).

AJL 38 turut mempertaruhkan lagu duet iaitu Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali/Amylea).

Semua persembahan dinilai barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail bersama Datuk Wah Idris, Helen Yap, LY, Dr Azmeer Abu Bakar dan Cat Farish.

Berita Harian X