Isnin, 18 Disember 2023 | 8:55pm
Aksi M Daud bergelek selain kecenderungan melaram di pentas sambil menukar persalinan secara spontan, mengumpan peminat sejak era 1980-an. Foto NSTP
Aksi M Daud bergelek selain kecenderungan melaram di pentas sambil menukar persalinan secara spontan, mengumpan peminat sejak era 1980-an. Foto NSTP

Aksi tukar baju tujuh lapis di pentas terus dikenang - Freddie Fernandez

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan Allahyarham Datuk M Daud Kilau sebagai penghibur sejati yang sukar dicari ganti.

Terkesan dengan kehilangan penyanyi legenda itu, Freddie berkata, pemergian Allahyarham M Daud meninggalkan impak besar kepada industri seni tanah air.

"Arwah penghibur legenda yang sudah berada dalam industri muzik tanah air selama 60 tahun.

"Sepanjang hayatnya, arwah menghiburkan ramai orang dengan aksi hebat setiap kali buat persembahan pentas, penuh gimik dan kejutan," katanya kepada BH Online.

Freddie berkata, Allahyarham M Daud dianggap ikon gelek kerana aksi uniknya masih segar dalam ingatan ramai hingga hari ini.

"Malah, lagu malar segar seperti Cek Mek Molek, Hutang Minta Hutang, Anak Yang Pertama dan Gila Judi juga masih melekat di hati pendengar.

"Penyanyi mana yang mampu bertukar baju berkilau sebanyak tujuh kali di atas pentas? Itu memang momen paling diingati ramai.

"Pemergian arwah suatu kehilangan besar dan tiada individu mampu menggantikan tempatnya... Tiada sesiapa boleh bergelek seperti M Daud.

"Namun, kita harus akur dengan ketentuan takdir dan perlu menerima berita pemergiannya dengan hati yang reda," katanya.

Kali terakhir Freddie bertemu Allahyarham M Daud adalah ketika beliau menziarahi penyanyi veteran itu di kediamannya Bagan Datuk, Perak, tahun lalu.

Bintang legenda digelar Raja Gelek, M Daud Kilau, 85, menghembuskan nafas terakhir di HTI, Teluk Intan, pada jam 4.40 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham M Daud yang terkenal dengan imej unik dan dendangan malar segar seperti Cek Mek Molek, dikongsi cucunya dikenali sebagai Hasnor Ikram melalui Instagram Story (IGs).

"Datuk saya, Mohd Daud bin Kilau telah hembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi... Al-Fatihah," katanya.

Berita Harian X