Isnin, 18 Disember 2023 | 8:30am
Finalis 12 lagu bakal berentap di pentas berprestij, AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Finalis 12 lagu bakal berentap di pentas berprestij, AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan. Foto NSTP Rohanis Shukri

Finalis AJL 38 kreatif, bijak adun teknologi dalam karya

SHAH ALAM: Kejayaan ramai komposer muda mara ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 membuktikan pengalaman bukanlah segala-galanya dalam menzahirkan karya bermutu.

Selain bakat, ilmu yang dipelajari dan evolusi teknologi turut membantu menyerlahkan lagu ciptaan generasi baharu.

Hakikat itu diakui Ketua Juri Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38, Datuk Mokhzani Ismail selepas membuat penilaian terhadap 29 lagu yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

"Kreativiti mereka cukup menyerlah apabila lagu ciptaan masing-masing mengetengahkan elemen moden dengan bantuan teknologi.

"Mereka menyanyi, cipta lagu dan buat susunan muzik sendiri... Itu kelebihan mereka.

"Ada tiga lagu etnik kreatif terpilih ke peringkat akhir di mana melodinya kedengaran mahal dengan bantuan teknologi, bukan tipikal lagu tradisional yang pernah dihasilkan.

"Ini mungkin kerana bidang muzik yang mereka belajar menerapkan elemen teknologi berbanding komposer dahulu atau sebelum zaman mereka.

"Bagaimanapun, mereka bukanlah semata-mata dibantu dengan penggunaan teknologi. Sebaliknya, bakat semula jadi dan minat membantu mereka menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah berkualiti," katanya kepada BH Online.

Semalam, komposer dan penyanyi muda diumum mendominasi keputusan SFMM 38 pada siaran langsung TV3 dari Studio 1, Glenmarie, di sini.

Bakat muda dilihat menguasai kebanyakan daripada 12 lagu yang bakal berentap di pentas AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 3 Mac depan.

Mokhzani berkata, cabaran paling besar yang dihadapi juri adalah apabila sebilangan besar lagu yang dipertandingkan bergenre balada.

"Daripada 29 lagu tersenarai, 17 karya bergenre balada. Bagaimanapun, kami pilih tujuh lagu kerana melodinya tidak stereotaip dan lirik senang difahami," katanya.

Pemegang taktha juara AJL 37, Aina Abdul dilapor meneruskan penguasaan di pentas berprestij itu apabila mara ke pusingan akhir melalui lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu.

Lagu yang mencetuskan kontroversi, Astana nyanyian Ernie Zakri hasil ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman turut tersenarai sebagai finalis AJL 38.

Bekas juara AJL 32 dan AJL 33, Hael Husaini juga mara ke pentas akhir melalui lagu ciptaanya berjudul Bintang.

Lagu lain yang berjaya ke pentas AJL 38 adalah Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno); Santai (Naqiu/Faizal Tahir); Inilah Jalan (Masdo/Noh Salleh) dan Darah (Marsha Milan/Naim Daniel dan Firdaus Rahmat).

Turut bersaing Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari) dan Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong).

AJL 38 turut mempertaruhkan lagu duet iaitu Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali/Amylea).

Lebih istimewa, Jamal, Ziana dan Naqiu mewakili penyanyi 'senior' yang bakal beraksi di pentas AJL 38.

Berita Harian X