Ahad, 17 Disember 2023 | 10:54pm
Ernie menjelaskan dia tidak bersengketa dengan Nadeera atas kekecohan berhubung isu penyanyi gantian untuk lagu ciptaannya, Astana di pentas SFMM 38. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ernie menjelaskan dia tidak bersengketa dengan Nadeera atas kekecohan berhubung isu penyanyi gantian untuk lagu ciptaannya, Astana di pentas SFMM 38. Foto NSTP Rohanis Shukri

Kami sama-sama tersepit - Ernie Zakri

SHAH ALAM: Ernie Zakri menjelaskan tiada sebab untuk dia bermasam muka dengan Nadeera atas kontroversi lagu Astana yang pada mulanya diumum bakal dipersembahkan juara Big Stage 2023 itu di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38.

Menganggap dirinya dan Nadeera tersepit atas situasi melanda, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, mengaku hubungan mereka baik dan tidak timbul persengketaan.

"Saya sudah berbincang dengan Nadeera dan perkara itu selesai. Saya hormati Nadeera untuk menyanyikan lagu Astana. Saya hormati apabila dia beritahu tidak tahu mengenai perkara ini.

"Kalau saya berada di tempat Nadeera sekali pun, saya akan menyanyikan lagu itu. Tiada apa yang harus dipersalahkan kerana dia hanya menggalas tanggungjawab.

"Nadeera ada hubungi saya melalui Instagram (IG). Mesej yang dikirim panjang dan saya percaya Nadeera mesti sedih. Kami tiada isu dan sudah berbaik. Nadeera mohon maaf dan saya juga sedemikian.

"Kami tersepit sebab tidak tahu apa yang berlaku. Kami hanya cari makan, kami hanya penyanyi," katanya pada sidang media hari ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di Studio 1, Glenmarie di sini, hari ini.

Sebelum ini, peminat kecewa apabila lagu Astana ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman diumum bakal dinyanyikan Nadeera, rentetan beberapa perkara dibangkitkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang mewakili syarikat rakaman, kepada penganjur.

Ernie juga dilapor terkejut dengan pemilihan Nadeera dan mendakwa tidak mendapat maklumat rasmi daripada bekas syarikat rakamannya, Rocketfuel Entertainment berhubung penggantian penyanyi bagi mendendangkan single terbabit di pentas SFMM 38.

Bagaimanapun, isu selesai apabila Ernie, kelmarin, mengesahkan bakal menyanyikan lagu Astana pada hari kedua SFMM 38, iaitu semalam.

Sementara itu, mengulas kejayaan Astana yang bolos Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, Ernie menyifatkan pencapaian itu hasil kerjasama dengan komposer lain.

"Saya sangat gembira apabila Astana layak ke AJL 38. Ini bukan kerja saya seorang. Ini kerja keras semua orang yang terbabit dalam menjayakan projek lagu ini.

"Saya sebagai penyanyi asal dan komposer lagu Astana sudah pasti gembira dan bersyukur. Lagu ini adalah sangat peribadi untuk saya.

"Nilai sentimental pada lagu ini sangat besar kerana adalah kesinambungan single terdahulu iaitu Ku Bersuara," katanya.

Berita Harian X