Ahad, 17 Disember 2023 | 6:09pm
Finalis 12 lagu bakal berentap di pentas berprestij, AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Finalis 12 lagu bakal berentap di pentas berprestij, AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac depan. Foto NSTP Rohanis Shukri

Bakat muda kuasai AJL 38

SHAH ALAM: Komposer dan penyanyi muda mendominasi keputusan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 yang diumum pada siaran langsung TV3 dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, hari ini.

Bakat muda dilihat menguasai kebanyakan daripada 12 lagu yang bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 3 Mac depan.

Pemegang taktha juara AJL 37, Aina Abdul meneruskan penguasaan di pentas berprestij itu apabila mara ke pusingan akhir melalui lagu ciptaannya, Jangan Mati Rasa Itu.

Lagu yang mencetuskan kontroversi, Astana nyanyian Ernie Zakri hasil ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman turut tersenarai sebagai finalis AJL 38.

Bekas juara AJL 32 dan AJL 33, Hael Husaini juga mara ke pentas akhir melalui lagu ciptaanya berjudul Bintang.

Lagu lain yang berjaya ke pentas AJL 38 adalah Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno); Santai (Naqiu/Faizal Tahir); Inilah Jalan (Masdo/Noh Salleh) dan Darah (Marsha Milan/Naim Daniel dan Firdaus Rahmat).

Turut bersaing Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari) dan Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong).

AJL 38 turut mempertaruhkan lagu duet iaitu Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali/Amylea).

Lebih istimewa, Jamal,  Ziana dan Naqiu mewakili penyanyi 'senior' yang bakal beraksi di pentas AJL 38.

Pada episod ketiga SFMM38, semalam, Santai dendangan Faizal diumum Lagu Terbaik. Pemenang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan barangan eksklusif sumbangan penaja utama AJL 38, Alha Alfa.

Lagu berentak 'catchy' itu turut memenangi kategori Lagu Pilihan Alha Alfa yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.

Lagu Terbaik dinilai barisan juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail bersama Datuk Wah Idris, Helen Yap, LY, Dr Azmeer dan Cat Farish.

Lagu Pilihan Alha Alfa diundi peminat dengan mengimbas QR Code yang tertera sepanjang siaran langsung di TV3.

Dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy, SFMM 38 menyaksikan 29 lagu bertanding menerusi tiga episod yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

Sepanjang tiga hari, SFMM 38 diserikan dengan persembahan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, Akim & The Majistret dan kumpulan rock legenda, Search.

Berita Harian X