Ahad, 17 Disember 2023 | 11:00am
Mierul mahu meneroka lebih banyak watak di pasaran tempatan, sebelum mencuba nasib ke luar negara terutamanya Indonesia. Foto IG Mierul Aiman
Mierul mahu meneroka lebih banyak watak di pasaran tempatan, sebelum mencuba nasib ke luar negara terutamanya Indonesia. Foto IG Mierul Aiman

Belum masa Mierul Aiman lakar nama ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Melihat rakan seperjuangan yang lahir dari pertandingan Hero Remaja sudah melebarkan sayap seni ke luar negara, pelakon, Mierul Aiman, 25, tidak menolak keinginan sama melakar nama di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, Mierul atau nama sebenar, Muhammad Amirul Aiman Norazman berkata, dia mahu meneroka lebih banyak watak di pasaran tempatan, sebelum mencuba nasib ke luar negara terutamanya Indonesia.

"Saya memegang satu prinsip. Sebagai pelakon, tugas saya mewakilkan perasaan, emosi atau nilai yang ada dalam setiap karakter dicipta.

"Maksudnya, dalam diri peminat ada satu cerita yang mereka sendiri mahu beritahu kepada orang lain, tapi tidak semua orang faham. Jadi, sebagai pelakon, saya kena 'portray' atau wakilkan apa yang orang pernah dilalui menerusi karakter.

"Jadi, bila saya bawakan karakter dengan betul, tepat dan jelas, orang yang melihat rasa dekat dengan karakter ini.

"Jadi, saya mahu wakilkan sebanyak mana perasaan yang boleh, dalam masa sama mengapa tidak kita mewakilkan perasaan penonton di seluruh dunia. Kita mahu 'represent' untuk satu dunia.

Populariti Mierul melonjak selepas membintangi drama bersiri Projek: High Council. Foto IG Mierul Aiman
Populariti Mierul melonjak selepas membintangi drama bersiri Projek: High Council. Foto IG Mierul Aiman

"Kalau boleh, saya mahu membawakan perasaan ini dalam pasaran nusantara, seperti Indonesia. Tapi, saya percaya kepada masa, proses dan 'progress'. Saya juga percaya setiap proses dilalui bukan untuk saya menuntut kejayaan, tapi menuntut pembelajaran," katanya.

Mierul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media dan pratonton siri terbitan platform penstriman, Viu Originals, W: Two Worlds di sini, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai peluangnya menghidupkan watak Ghazi, pengawal peribadi menerusi siri itu, Mierul berkata, dia bertuah dapat menimba ilmu dan pengalaman bekerja dengan pasukan berpengalaman.

"Ketika dapat skrip saya teruja sebab dapat bekerja dengan produksi tinggi nilainya dan pengarah sangat berkaliber dan barisan pelakon yang sangat baik, di mana saya membesar dengan menonton lakonan mereka.

"Jadi, sebagai pelakon, tipulah kita tak rasa terbeban apabila dikelilingi dengan semua kekuatan dari segi emosi dan nilai.

"Saya gementar, tapi ia hilang bila bertemu semua ketika proses baca skrip. Hari kedua baca skrip kami sudah dapat lihat identiti dibawakan masing-masing.

"Itu sangat penting sebab bila sudah kenal, gementar hilang. Pada hari kedua juga ada perasaan semangat untuk buat naskhah ini dengan lebih baik," katanya.

Pelakon melonjak popular dengan drama bersiri Projek: High Council ini juga tidak menafikan tekanan, namun percaya setiap naskhah mempunyai kekuatan memberikan hasil terbaik.

"Apa sahaja tugasan dilalui sebagai manusia dari kecil hingga besar, setiap daripada ada tekanan. Apabila bercakap mengenai perkara baharu, tekanan untuk meresap dalam dunia baharu adalah satu benda normal.

"Jadi, bila saya buka skrip siri ini ia adalah satu dunia baharu untuk saya. Saya membesar dengan dunia komik seperti Doraemon dan Detective Conan, sentiasa bertanya bagaimana kehidupan dalam komik.

"Apabila saya tahu membawakan watak komik, ia jadi lebih mengujakan," katanya.

Siri adaptasi dari Korea Selatan itu diarah Datuk Yusry Abdul Halim dan turut menampilkan Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Faizal Hussein, Tony Eusoff dan Shahkimin.

Berita Harian X