Ahad, 17 Disember 2023 | 8:30am
Nabila bernikah dengan jejaka pilihan, Nik Iruwan pada 18 November lalu. Foto IG Nabila Razali
Nabila bernikah dengan jejaka pilihan, Nik Iruwan pada 18 November lalu. Foto IG Nabila Razali

Nabila nikmati cinta selepas kahwin

KUALA LUMPUR: Hidup pelakon dan penyanyi, Nabila Razali kini lengkap selepas dipertemukan jodoh bersama suami tercinta, Nik Iruwan Nik Izani.

Memeterai ikatan suci pada tanggal 18 November lalu, penyanyi Peluang Kedua itu berkata, hidupnya kini tidak lagi sunyi.

Apa yang lebih bermakna, katanya, dia kini ada tempat mengadu selepas lelah bekerja.

"Kalau dulu segala-galanya saya pendam sendiri. Sekarang balik ke rumah, saya lega. Ini kerana ada suami menjadi tempat mengadu terutama saat menerima kecaman.

"Sebenarnya, kami masih lagi menyesuaikan diri memandangkan tempoh perkenalan singkat.

Nabila tidak akan memperlahankan rentaknya dalam dunia seni selepas bergelar isteri. Foto IG Nabila Razali
Nabila tidak akan memperlahankan rentaknya dalam dunia seni selepas bergelar isteri. Foto IG Nabila Razali

"Boleh dikatakan kami bercinta selepas nikah, jadi banyak benda yang perlu disesuaikan. Namun, saya gembira dengan fasa baharu ini," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single Hanya Kamu dan kolaborasi tudung bersama jenama Nada di sini, baru-baru ini.

Terpancar seri pengantin, Nabila berkata, dia tidak akan memperlahankan rentaknya selepas bergelar isteri.

Katanya, biarpun tanggungjawab kian bertambah, tetapi tidak menganggapnya sebagai bebanan.

"Alhamdulillah, suami faham status saya sebagai selebriti, lagipun dia juga orang industri dan tahu macam mana sibuknya jadual kami.

"Soal kerja memang kami sudah berbincang sejak awal lagi.

"Setakat ini, saya tak bercadang kurangkan aktiviti seni disebabkan status sudah berubah," katanya kepada BH Online.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, suaminya yang juga penerbit filem Bulan dan Pria Terhebat itu sering memberinya galakan supaya memperbaiki kelemahan terutama dalam dunia seni suara.

Selain itu, katanya, suaminya sering menasihatinya agar tidak jemu menimba ilmu nyanyian dan melatih vokal menjadi lebih baik.

"Suami selalu pesan kena perbaiki diri kalau ingin jadi penyanyi bagus.

"Dia ada cadangkan agar saya masuk seberapa banyak kelas vokal kerana apa yang lebih penting, bekerja keras untuk mendapatkan hasil dikehendaki.

"Daripada situ, saya yakin suami sangat menyokong perkembangan karier dan sebab itu jugalah kami serasi bersama," katanya.

Berita Harian X