Sabtu, 16 Disember 2023 | 8:22pm
Aisha sudah lama menyimpan hasrat bersaing pada SFMM. Foto NSTP Rohanis Shukri
Aisha sudah lama menyimpan hasrat bersaing pada SFMM. Foto NSTP Rohanis Shukri

SFMM 38 : Aisha menangis berjaya bawa Sutera ke pentas

SHAH ALAM: Penyanyi Aisha Retno, 23, menitiskan air mata sebaik selesai membuat persembahan di pentas hari kedua Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di Studio 1, Glenmarie di sini, hari ini, mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama MFMF, iaitu Sutera.

Penyanyi berdarah kacukan Indonesia-Malaysia itu menangis disebabkan terharu berjaya mengetengahkan lagu Sutera di pentas SFMM 38.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam mengaku sudah lama mengidam bersaing di pentas SFMM.

"Saya menangis bukan sebab tidak beri yang terbaik. Saya menangis kerana ini (detik di pentas SFMM 38) adalah idaman saya. Apabila saya lancarkan single ini, saya beritahu MFMF hendak bawa lagu ini ke pentas seterusnya.

Aisha berazam meningkatkan mutu persembahan jika single dipertaruhkan, Sutera mara ke AJL 38. Foto NSTP Rohanis Shukri
Aisha berazam meningkatkan mutu persembahan jika single dipertaruhkan, Sutera mara ke AJL 38. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Saya menangis tadi, tak rancang pun hendak menangis. Saya gembira kerana bukan saya sahaja yang berusaha, pasukan saya juga gembira dapat memberi yang terbaik," katanya ditemui pada sidang media sempena hari kedua SFMM 38 di Studio 1, Glenmarie di sini, hari ini.

Terdahulu, lagu Sutera dendangan Aisha diumum Lagu Terbaik pada hari kedua SFMM 38.

Aisha mengaku sangat sayangkan single Sutera.

"Apabila dapat tahu Sutera berjaya masuk SFMM 38, itu sahaja sudah cukup... Ini kali pertama saya masuk pertandingan ini.

"Tengoklah nama-nama seperti Ziana Zain, Aina Abdul, Ernie Zakri, Shiha Zikir dan ramai lagi... Saya masih kerdil dalam industri muzik," katanya yang berazam meningkatkan mutu persembahan andai Sutera bolos Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38.

Aisha berkata single Sutera mempunyai kekuatan dalam mesej selain menggabungkan irama etnik dan EDM.

"Sutera adalah mengenai hati Puteri Jawa yang disakiti. Hatinya melambangkan sutera yang dipakai wanita. Jadi; saya lambangkan sutera sebagai kain putih dengan mesej pemerkasaan wanita.

"Biarpun wanita, kita boleh buat apa sahaja yang dilakukan lelaki, namun, kita tidak menindas mereka," katanya.

Berita Harian X