Sabtu, 16 Disember 2023 | 6:34pm
Aisha menerima wang tunai RM3,000 dan barangan eksklusif sumbangan penaja utama, Alha Alfa selepas lagu Sutera diumum Lagu Terbaik pada SFMM 38, hari ini. Foto NSTP Rohanis Shukri
Aisha menerima wang tunai RM3,000 dan barangan eksklusif sumbangan penaja utama, Alha Alfa selepas lagu Sutera diumum Lagu Terbaik pada SFMM 38, hari ini. Foto NSTP Rohanis Shukri

SFMM 38 : Lagu Sutera dendangan Aisha Retno menang Lagu Terbaik

SHAH ALAM: Lagu Sutera dendangan Aisha Retno diumum Lagu Terbaik pada hari kedua Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio 1, Glenmarie di sini, hari ini.

Dengan kemenangan itu, Aisha menerima wang tunai RM3,000 dan barangan eksklusif sumbangan penaja utama, Alha Alfa.

Sesi kedua juga menyaksikan Ernie Zakri yang mempertaruhkan lagu Astana terpilih sebagai pemenang Lagu Pilihan Alha Alfa yang menyediakan hadiah wang tunai RM2,000 dan barangan eksklusif sumbangan Alha Alfa.

Aisha memikat penonton dengan aksi bersahaja ketika mendendangkan lagu Sutera pada hari kedua SFMM 38, hari ini. FotoNSTP Rohanis Shukri
Aisha memikat penonton dengan aksi bersahaja ketika mendendangkan lagu Sutera pada hari kedua SFMM 38, hari ini. FotoNSTP Rohanis Shukri

Kategori Lagu Terbaik diadili barisan juri diketuai Datuk Mokhzani Ismail; Datuk Wah Idris; Cat Farish; Helen Yap; Azmeer dan LY. Lagu Pilihan Alha Alfa diundi peminat melalui kaedah imbas QR Code yang tertera sepanjang siaran langsung.

Sepuluh lagu bertanding hari ini adalah Korbankan Kita nyanyian Mojo dan ciptaan Edry Abdul Halim; Kamu Kamu (Wani Kayrie/Ziin/Jerry); Alah Bisa (Amira Othman menampilkan Putera Muhammad/Glow Rush/Mage, Nick Ariff, Glow Rush, Faizal Tahir dan Acap Salim; Astana (Ernie Zakri/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri dan Syamel/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri dan Syamel) dan Cinta Hanya Buatan (Muna Shahirah menampilkan Afieq Shazwan/Gouffran serta Ibnu/Gouffran dan Ibnu).

Turut bertanding berebut tempat ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 adalah Cinta Sahabiyah nyanyian Datin Alyah dan ciptaan Datin Alyah dan Omar K serta lirik oleh Datin Alyah; Menyantun Kasih (Siti Nordiana/M Nasir/Keon); Sejuta Maaf (Liza Hanim/Sirkhan dan Rinkarnaen/Sirkhan); Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno); Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat).

Dua belas lagu terbaik yang akan diumum pada episod akhir SFMM38, esok, akan berentap pada AJL 38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 3 Mac tahun depan.

SFMM 38 dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy. Pada hari kedua SFMM 38, peminat dihiburkan Akim & The Majistret dengan lagu Potret dan Saksama.

Sidang produksi SFMM 38 diketuai Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Sufian Che Isa (Penerbit Eksekutif) dan Noradillah Abdullah (Penerbit).

Berita Harian X