Sabtu, 16 Disember 2023 | 11:00am
Khairunnisa menjelaskan TV9 tidak sabar menayangkan siri Boboiboy Galaxy Sori kepada penonton. Foto Ihsan TV9
Khairunnisa menjelaskan TV9 tidak sabar menayangkan siri Boboiboy Galaxy Sori kepada penonton. Foto Ihsan TV9

BoBoiBoy Galaxy Sori di TV9 mulai minggu ini

KUALA LUMPUR : Selepas tayangan akhir BoBoiBoy Galaksi pada 2019, siri animasi BoBoiBoy kembali dengan BoBoiBoy Galaxy Sori yang pasti memukau penonton terutama kanak-kanak.

Istimewa buat peminat siri animasi BoBoiBoy, TV9 menyajikan siri enam episod BoBoiBoy Galaxy Sori setiap Rabu dan Khamis, jam 6.30 petang mulai minggu ini.

Kepada penggemar komik BoBoiBoy, jangan lepaskan peluang menyaksikan siri baharu ini kerana hasil animasi berkualiti tinggi pasti memberi pengalaman berbeza.

Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarudin, berkata TV9 tidak sabar menayangkan siri Boboiboy Galaxy Sori kepada penonton.

"Selepas lima tahun, ramai penonton kami yang menyaksikan siri terdahulu kini meningkat remaja.

"Melalui siri terbaharu ini, kami dapat kumpul lebih ramai penonton, iaitu audiens terdahulu dan yang baharu.

"Apa yang menarik, siri animasi Boboiboy Galaxy Sori dibikin dengan lebih halus dan berkualiti tinggi dengan jalan cerita segar.

Pengembaraan baharu BoBoiBoy Sori berkisar gabungan elemen antara BoBoiBoy Solar dan BoBoiBoy Duri. Foto Ihsan TV9
Pengembaraan baharu BoBoiBoy Sori berkisar gabungan elemen antara BoBoiBoy Solar dan BoBoiBoy Duri. Foto Ihsan TV9

"Tidak mustahil untuk setiap episod yang ditayangkan, tidak kira di platform Youtube atau di TV9, boleh mencecah lebih 500,000 tontonan," katanya.

Pengembaraan baharu BoBoiBoy Sori berkisar gabungan elemen antara BoBoiBoy Solar dan BoBoiBoy Duri.

BoBoiBoy dan rakannya berpindah ke pangkalan Tracker And Protector Of Power Spheres (TAPOPS) bagi mengekalkan keamanan galaksi. Mereka perlu menghalang Sfera Kuasa jatuh ke tangan salah.

Demi menjayakan misi mereka, BoBoiBoy perlu mempelajari kekuatan elemen tahap ketiga di Planet Rimbara yang juga bekas jajahan King Balakung, iaitu pemilik asal Kuasa Elemental Balak.

BoBoiBoy dan rakan perlu menghadapi banyak cabaran dan melawan beberapa penjahat.

Dapatkah BoBoiBoy membongkar rahsia King Balakung dan mendapatkan Kuasa Elemental Balak? Berjayakah BoBoiBoy mempelajari Kuasa Elemen Tahap Ketiga?

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Facebook (FB), Instagram (IG) dan X di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial bagi maklumat terkini program TV9.

Berita Harian X