Sabtu, 16 Disember 2023 | 8:30am
Pada hari pertama SFMM 38, semalam, Jangan Mati Rasa Itu dendangan dan ciptaan Aina diumum Lagu Terbaik dan Lagu Pilihan Alha Alfa. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Pada hari pertama SFMM 38, semalam, Jangan Mati Rasa Itu dendangan dan ciptaan Aina diumum Lagu Terbaik dan Lagu Pilihan Alha Alfa. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

SFMM 38 : Aina lawan sakit demi Jangan Mati Rasa Itu

SHAH ALAM: Biarpun berdepan masalah penghadaman dan kurang sihat, Aina Abdul, 30, bersyukur mampu beraksi cemerlang pada hari pertama Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di sini, semalam.

Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani mendakwa kesihatannya mula merosot selepas menjayakan konsert solo, A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 18 November lalu.

"Selalunya, selepas habis projek besar seperti konsert, saya rasa tidak sedap badan dan jatuh sakit selepas buat sehabis baik. Selepas konsert itu, saya tiada rehat panjang. Memang boleh bekerja, tetapi badan kita pun 'menangis' minta rehat.

"Bagaimanapun, saya ada berjumpa doktor dan bersenam. Saya patuh apa arahan doktor termasuk dalam soal pemakanan.

Biarpun dalam keadaan kurang sihat, Aina mampu mengungguli hari pertama SFMM 38, semalam. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Biarpun dalam keadaan kurang sihat, Aina mampu mengungguli hari pertama SFMM 38, semalam. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

"Saya bukan demam, sebaliknya, ada masalah dengan sistem penghadaman. Saya tidak boleh ambil makanan pejal, hanya yang berair sahaja," katanya ditemui selepas beraksi pada SFMM 38 di Studio 1, Glenmarie di sini, semalam.

Pada hari pertama SFMM 38, Jangan Mati Rasa Itu dendangan dan ciptaan Aina diumum Lagu Terbaik.

Selain meraih wang tunai RM3,000, Aina membawa pulang barangan eksklusif sumbangan penaja utama, Alha Alfa.

Jangan Mati Rasa Itu turut diumum Lagu Pilihan Alha Alfa yang melayakkan Aina meraih RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.

Mengulas kemenangannya, Aina tidak menyangka dapat membawa pulang RM5,000.

"Saya datang (ke SFMM 38) hanya untuk menyanyi dan menghiburkan peminat serta memberi pengenalan yang baik untuk lagu Jangan Mati Rasa Itu. Apabila diberi penghargaan daripada juri dan peminat, saya sangat terharu, gembira dan sebak.

"Lagu yang bertanding semuanya sangat hebat. Ada yang lagu saya minat dan penyanyi yang saya suka. Alhamdulillah, saya fikir ini adalah rezeki untuk peminat saya," katanya.

Aina yang meraih gelaran Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 melalui single Terus Hidup tidak menafikan menyimpan harapan besar di pentas edisi ke-38 acara anugerah berprestij itu, Mac depan.

"Setiap tahun saya letak harapan tinggi untuk karya saya. Bukan sebab saya ada sikap berdaya saing, sebaliknya, saya anak seni yang berjiwa kental.

"Setiap kali beraksi di pentas SFMM dan AJL, saya ingat detik pertama. Walaupun ini tahun kelima (beraksi di SFMM), saya masih ingat momen pertama. Lagu Jangan Mati Rasa Itu adalah lembaran baharu dan punya cabaran tersendiri," katanya.

Bertanya mengenai lagu kegemaran pada hari pertama SFMM, Aina memilih lagu Waktu dendangan duet Ziana Zain dan Hasif Upin.

"Saya sangat suka lagu Waktu. Bukan hanya sebab lagu, sebaliknya, saya sendiri obses dengan Ziana. Saya sayang Ziana, Beliau sokong saya seikhlas hati dan anggap saya macam adik sendiri," katanya.

Sementara itu, Aina mengumumkan memilih Ernie Zakri sebagai penyanyi jemputan pada Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore yang bakal menggegarkan republik itu pada 6 Januari depan.

Aina berkata, Ernie dianggap pilihan tepat yang mampu menyempurnakan konsert pertamanya di luar negara.

"Sebenarnya, senarai pendek saya berbeza. Apabila diteliti, saya fikir ada kekurangan. Saya pilih Ernie kerana kagum dengan bakatnya. Selain itu, saya anggap ini peluang yang baik untuk saya 'tutup' kisah yang membandingkan saya dengan dirinya," katanya.

Berita Harian X