Jumaat, 15 Disember 2023 | 6:24pm
Selain Lagu Terbaik, Jangan Mati Rasa Itu juga diumum Lagu Pilihan Alha Alfa yang melayakkan Aina meraih RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Selain Lagu Terbaik, Jangan Mati Rasa Itu juga diumum Lagu Pilihan Alha Alfa yang melayakkan Aina meraih RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

SFMM 38 : Jangan Mati Rasa Itu ciptaan Aina Abdul diumum lagu terbaik pada hari pertama

SHAH ALAM: Jangan Mati Rasa Itu dendangan dan ciptaan Aina Abdul diumum Lagu Terbaik pada hari pertama Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) 38 di Studio 1, Glenmarie, di sini, petang tadi.

Selain meraih wang tunai RM3,000, Aina membawa pulang barangan eksklusif sumbangan penaja utama, Alha Alfa.

Jangan Mati Rasa Itu turut diumum Lagu Pilihan Alha Alfa yang melayakkan Aina meraih RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.

Aina beroleh kejayaan awal apabila lagu ciptaan dan lirik nukilan sendiri, Jangan Mati Rasa Itu diumum Lagu Terbaik pada hari pertama SFMM 38. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Aina beroleh kejayaan awal apabila lagu ciptaan dan lirik nukilan sendiri, Jangan Mati Rasa Itu diumum Lagu Terbaik pada hari pertama SFMM 38. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

Lagu Jangan Mati Rasa Itu dipilih peminat melalui undian Lagu Pilihan Alha Alfa dengan mengimbas QR Code tertera sepanjang siaran langsung.

Bagaimanapun, kedua-dua lagu yang berjaya hari ini tidak semestinya layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38.

Semua lagu pada peringkat SFMM 38 diadili barisan juri iaitu Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua, Datuk Wah Idris, Cat Farish, Helen Yap, Azmeer dan LY.

Dua belas lagu terbaik yang berjaya dalam tiga fasa SFMM 38 akan berentap di AJL 38 yang akan disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac depan.

Sepuluh lagu yang bertanding hari ini adalah Inilah Jalannya nyanyian Masdo ciptaan Noh Salleh; Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/A Ramlee dan Ezra Kong); Kaulah Syurga (Khai Bahar dan Lia Aziz/Asfan Shah/Siti Rosmizah) dan Tusuk (Shiha Zikir/Iqie Hugh dan Omar Kay/Iqie Hugh dan Omar Kay).

Turut bertanding Hasrat nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Amir Jahari; Ilusi (Marsha Milan menampilkan Hazama/Iqie Hugh, Shazreq Azeman dan Omar K/Iqie Hugh, Shazreq Azeman dan Omar K); Jangan Mati Rasa Itu (lagu ciptaan dan lirik Aina Abdul); Bahagia Milik Kita (Syamel/Syamel dan Ahmad Jeffny/Syamel); Oh Wanita (Khai Bahar/Harry Khalifah/Harry Khalifah) dan Racun (Elica Paujin feat Dem Lepak Boyz/Iqie Hugh dan Aniq Iffat/Iqie Hugh dan Aniq Iffat).

SFMM 38 dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy. Peringkat kedua SFMM 33 akan diadakan esok, disusuli sesi terakhir, lusa.

Setiap episod SFMM38 dimeriahkan dengan persembahan jemputan yang berbeza. Pada episod pertama, Noraniza Idris menyampaikan lagu Dikir Puteri, Ngajat Tampi dan Hatinya Tak Tahan.

Sidang produksi SFMM38 diketuai oleh Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Sufian Che Isa sebagai penerbit eksekutif dan Noradillah Abdullah sebagai penerbit.

Berita Harian X