Jumaat, 15 Disember 2023 | 11:00am

Ziana Zain kembali bikin konsert selepas 22 tahun

KUALA LUMPUR : Selepas 22 tahun menunggu peluang, Ziana Zain teruja meraikan ulang tahun ke-33 dalam industri muzik melalui Ziana Zain Konsert 2024 di ibu negara, pada 25 Mei depan.

Lebih bermakna, konsert itu dianjurkan dengan kerjasama adiknya, Anuar Zain melalui syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn Bhd.

Konsert yang bakal menghangatkan Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza Kuala Lumpur itu menyaksikan syarikat diasaskan Ziana, iaitu Ziana Zain Network Sdn Bhd bekerjasama dengan Anuar Zain Network, manakala Altus ProHouse dilantik sebagai pengurus konsert.

Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain gembira selepas 22 tahun menanti, beliau dapat merealisasikan permintaan peminat untuk mementaskan konsert mega.

"Pembuka bicara adalah konsert bersama Anuar di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tahun lalu.

"Apabila buat konsert itu, rasa seronok pula. Namun, selepas itu, buntu tidak tahu hendak buat apa.

"Alhamdulillah, saya dapat tawaran Anuar Zain Network. Saya fikir, mengapa tidak cuba. Selepas itu, ada tawaran besar datang. Namun, saya terpaksa tolak sebab sudah berjanji dengan Anuar.

Ziana (tengah) bersama Anuar, Jennifer dan Aubrey pada sidang media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Ziana (tengah) bersama Anuar, Jennifer dan Aubrey pada sidang media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/Aziah Azmee

"Saya sangat bersyukur saya dapat pentaskan konsert ini dengan individu yang bagus seperti Anuar. Kita tahu bagaimana cara Anuar bekerja, begitu dengan Jennifer Thompson dan Aubrey Suwito yang terbabit sama," katanya pada sidang media di ibu negara, baru-baru ini.

Pada Ziana Zain Konsert 2024, Ziana dijangka mendendangkan hingga 30 lagu popular sepanjang hampir tiga jam.

Selain Anuar, Ziana Zain Konsert 2024 mendapat sentuhan Aubrey sebagai pengarah muzik bersama 16 pemuzik profesional, manakala Jennifer pula bertindak sebagai pengarah konsert.

Kali terakhir penyanyi Puncak Kasih ini mementaskan konsert solo adalah pada Ziana Zain In The Park di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 2001.

Bertanya mengenai pemilihan Mei tahun depan yang juga bulan kelahirannya sebagai tarikh konsert, Ziana yang bakal menginjak usia 56 tahun tahun depan, mahu memberi laluan kepada aktiviti seninya, tahun ini.

"Tahun ini, saya hasilkan single Waktu dan bersaing pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38. Jadi, banyak yang saya kena habiskan satu demi satu.

"Jadi, saya fikir, 2024 adalah tahun yang bagus buat saya mementaskan konsert. Apatah lagi, saya tengok, ramai betul penyanyi buat konsert tahun ini.

"Jadi, saya pilih tahun depan untuk beri ruang kepada peminat kumpul duit berhibur bersama saya pada malam itu. Saya juga kena buat perancangan yang betul sebab sudah lama tidak pentaskan konsert.

"Ada masa enam bulan lagi, jadi banyak perkara yang boleh kami sediakan," katanya.

Ziana mahu berusaha sebaik mungkin bagi memberi hiburan kepada peminat yang membeli tiket menyaksikan beliau beraksi di pentas.

"Saya mahu tinggalkan kenangan berbeza dan 'memorable'. Saya juga mahu tunjukkan apa yang saya boleh lakukan pada usia ini.

"Setiap konsert dipentaskan mesti ada keistimewaan dan boleh menjadi rujukan pada masa akan datang. Sebab itu, saya sangat berhati-hati dalam mementaskan konsert.

"Apa yang pasti, konsert itu akan melambangkan perjuangan saya dalam dunia seni sepanjang 33 tahun ini... Insya-Allah," katanya.

Ziana dan Anuar bekerjasama dalam menganjurkan Ziana Zain Konsert 2024 di ibu negara, Mei depan. Foto IG Ziana Zain
Ziana dan Anuar bekerjasama dalam menganjurkan Ziana Zain Konsert 2024 di ibu negara, Mei depan. Foto IG Ziana Zain
Berita Harian X