Khamis, 14 Disember 2023 | 3:02pm
Filem Abang Adik mula ditayangkan di 82 pawagam tempatan, hari ini. Foto NSTP Asyraf Hamzah
Filem Abang Adik mula ditayangkan di 82 pawagam tempatan, hari ini. Foto NSTP Asyraf Hamzah

Abang Adik angkat kisah pertalian darah

KUALA LUMPUR: Filem Abang Adik yang mula menjengah 82 pawagam di seluruh negara hari ini, selayaknya menjadi naskhah wajib ditonton berikutan menonjolkan sisi berbeza rakyat Malaysia.

Disulami elemen menyentuh emosi dan sarat pengajaran, tidak hairanlah karya sulung arahan sutradara berasal dari Taiping, Perak, iaitu Jin Ong, meraih pelbagai pengiktirafan daripada festival filem antarabangsa, sejak awal tahun ini.

Latar filem yang dirakam di Pudu, iaitu di lokasi sibuk di tengah-tengah ibu negara, menambah keaslian dan keunikan naratif filem Abang Adik, yang dianggap naskhah penting dalam industri perfileman tempatan.

Menyelami tujuan di sebalik pembikinan filem Abang Adik, Ong mahu menonjolkan sisi berbeza kehidupan masyarakat di Pudu, selain mengetengahkan cerita dengan penerapan elemen hubungan persaudaraan yang kuat.

"Saya fikir filem ini ada sentuhan emosi yang kuat, terutama apabila menonjolkan hubungan persaudaraan antara Abang lakonan Wu Kang Ren dan Adik yang dibawa oleh Jack Tan. Saya fikir kebanyakan babak mereka mampu memberi kesan kepada penonton.

"Saya juga mahu mengetengahkan karya yang memaparkan kehidupan di Malaysia. Jadi, kebanyakan babak dalam filem Abang Adik adalah mengenai hubungan sesama manusia.

"Saya selalu berfikir, tidak kira betapa susahnya hidup kita atau betapa ia tidak adil, namun dengan adanya kasih sayang dalam diri setiap orang, ia membuatkan kita mampu bertahan.

Ong (kiri) bersama penerbit Sinje Lee (dua dari kiri) dan barisan pelakon pada sesi tayangan dan sidang media filem Abang Adik di GSC The Starling, Petaling
Ong (kiri) bersama penerbit Sinje Lee (dua dari kiri) dan barisan pelakon pada sesi tayangan dan sidang media filem Abang Adik di GSC The Starling, Petaling

"Melalui filem ini, saya memfokuskan kepada isu setempat. Tetapi perkara utama yang ingin ditonjolkan adalah kasih sayang sesama manusia, termasuk hubungan persaudaraan," katanya pada pada sesi tayangan dan sidang media filem Abang Adik di GSC The Starling, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas pemilihan Pudu yang terkenal dengan pasar basah di Kuala Lumpur sebagai lokasi penggambaran, Ong tertarik dengan kehidupan dan kepelbagaian masyarakat di lokasi terbabit.

"Sebelum ini, saya pernah buat penggambaran di Pudu. Saya dapati banyak perkara baharu, termasuk kepelbagaian masyarakat di sana. Kehidupan di Pudu bagi saya, agak berlainan dan penuh kepelbagaian.

"Sebenarnya, kebanyakan pelakon diketengahkan memberi gambaran kepada sebilangan penduduk di Pudu. Jadi, kami jalankan tinjauan di lokasi terbabit untuk benar-benar mendapatkan keaslian masyarakat Pudu dan diketengahkan dalam filem ini," katanya.

Filem Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, selain menjadi filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sudut tersembunyi di Kuala Lumpur.

Filem berkisar kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren. Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu.

Bulan lalu, Kang Ren meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Menyoroti laluan filem Abang Adik, naskhah ini mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama pada Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali, April lalu.

Naskhah itu juga membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Ditanya mengenai kejayaan filem Abang Adik meraih pelbagai anugerah di luar negara, Ong menganggap ia kenangan terindah dan tidak boleh dilupakan pasukan produksi.

"Ini perjalanan menakjubkan sejak filem ini dibawa keluar untuk menyertai mana-mana festival filem, buat pertama kalinya.

"Paling penting kami mahu bawa filem tempatan kepada rakyat di pelbagai negara. Saya mahu dengar pendapat dan maklum balas mereka terhadap karya tempatan.

"Saya juga mahu sampaikan mesej yang ada di Malaysia kepada penonton luar," katanya.

Filem Abang Adik diterbitkan More Entertainment Sdn Bhd dan New Century Southward Development Co Ltd dan diedar mm2 Entertainment.

Filem ini merekodkan kutipan pecah panggung di Taiwan, iaitu pada kadar NT$40mil (RM6.5 juta).

Berita Harian X