Rabu, 13 Disember 2023 | 5:59pm
Ziana dianggap antara dua nama besar bersaing pada SFMM 38 selain Datuk M Nasir. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Ziana dianggap antara dua nama besar bersaing pada SFMM 38 selain Datuk M Nasir. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Lebih baik fikir boleh menyanyi atau tidak - Ziana Zain

KUALA LUMPUR: Kali terakhir bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-23 kira-kira 15 tahun lalu, Ziana Zain yang kembali bersaing pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) 38, tidak memikirkan apakah taruhannya kali ini menjadi atau sebaliknya.

Ziana yang dianggap antara dua nama besar bersaing pada SFMM 38 selain Datuk M Nasir, mengaku pada usia sekarang, dia hanya memikirkan soal kemampuan beraksi di pentas pencarian lagu yang layak ke pentas akhir AJL 38 itu.

"Saya tidak fikir soal saingan, saya hanya fikir apakah saya boleh menyanyi atau tidak... Perkara itu yang paling penting. Kita pada umur ini, sudah malas hendak fikir soal itu.

"Saya sebagai emak kepada anak-anak, hanya fikir soal boleh menyanyi dengan baik atau tidak sahaja," katanya pada sidang media pengumuman Ziana Zain Konsert 2024 di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ziana yang mempertaruhkan lagu duet bersama Hasif Upin berjudul Waktu pada SFMM 38 berkata, beliau menyertai acara itu bagi menghargai komposer dan penulis lirik iaitu Firdaus Rahmat, Iqie Hugh dan John Jeeves.

"Mereka berharap kepada saya. Tidak sampai hati hendak mengecewakan orang yang bagi lagu sedap kepada kita. Apa perasaan dia apabila kita tidak hargai?

"Jadi, niat saya hendak bawa nama komposer dan penulis lirik. Saya hanya mewakili mereka. Bagaimanapun, saya gugup hendak menyanyi, tetapi, saya akan cuba yang terbaik," katanya.

SFMM38 menyaksikan 30 karya lagu merebut 12 tempat ke AJL 38 yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena. SFMM38 bermula tiga hari pada Jumaat ini.

Berkongsi lanjut mengenai Ziana Zain Konsert 2024 pada 25 Mei tahun depan itu, Ziana bersyukur selepas 22 tahun menanti, beliau dapat merealisasikan permintaan peminat untuk mementaskan konsert di Mega Star Arena, di sini.

Kali terakhir Ziana mementaskan konsert adalah pada Ziana Zain In The Park di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, pada 2001.

Ziana Zain Konsert 2024 yang dianjurkan Anuar Zain Network Sd Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse, mendapat sentuhan pengarah muzik, Aubrey Suwito serta 16 pemuzik profesional. Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah konsert.

Berita Harian X