Rabu, 13 Disember 2023 | 11:03am

'Saya bukan pelawak'

KUALA LUMPUR: Keringat, air mata penyanyi dan pelakon Azira Shafinaz yang mengalir sepanjang sedekad bergelar anak seni berbayar apabila dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik (Watak Komedi), Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023) pada malam kemuncak yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Tidak pernah meletakkan sebarang harapan dicalonkan pada anugerah berprestij peringkat Asia, apatah lagi menjulang trofi.

Azira atau nama sebenarnya, Azira Shafinaz Ramlan, 32, mengakui kemenangannya bukan sahaja mengejutkan, malah turut mencetuskan rasa bangga dalam diri.

"Sejujurnya, saya terkejut apabila nama diumumkan sebagai pemenang. Saya tak pernah letak harapan.

"Saya sangka pelakon dari Filipina akan menang kerana pasukannya rangkul banyak kemenangan.

"Saya menangis sepanjang berjalan ke pentas ambil trofi. Mujur artis yang sampaikan trofi adalah pelakon senior, Susan Lancaster.

"Susan tenangkan saya dan minta sampaikan ucapan. Selama 10 tahun, inilah trofi pertama yang diterima. Sudah tentu saya bangga kerana menjadi wakil tunggal Malaysia yang menang.

"Disebabkan bangga, saya tidur bersama trofi. Apabila bangun keesokannya dan nampak trofi, saya yakin tidak bermimpi," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Azira turut memberi penjelasan berhubung kekeliruan sesetengah pihak yang menyangkakan memenangi trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik.

"Saya menang trofi Pelakon Wanita Terbaik untuk watak komedi, bukannya Pelakon Wanita Terbaik Komedi. Drama Ijab Kabut yang dilakonkan bergenre komedi romantik dan watak Deanna memang kelakar.

"Saya bukannya pelawak. Penjelasan ini dibuat kerana saya tak nak ada yang pertikai kenapa saya menang trofi komedi, sedangkan saya bukan pelawak.

"Saya juga tak nak orang salah anggap dan sangka saya seorang pelawak.

"Bagaimanapun jika ada tawaran minta saya membawakan watak komedi atau berlawak, saya tak ada masalah untuk terima.

"Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam sitkom komedi, Sepahtu Reunion dan mereka puji mengatakan saya boleh berlawak," ujar aktres jelita ini.

Azira tidur bersama trofi disebabkan bangga dan tidak yakin bermimpi memperoleh anugerah pertama. - Foto IG Azira Shafinaz
Azira tidur bersama trofi disebabkan bangga dan tidak yakin bermimpi memperoleh anugerah pertama. - Foto IG Azira Shafinaz

Ditanya apakah sudah menerima tawaran berlakon di luar negara memandangkan bakatnya diiktiraf pada peringkat antarabangsa, anggota kumpulan De Fam ini berkata, dia masih menanti peluang keemasan berkenaan.

"Setakat ini, belum ada tawaran, tapi saya memang nak kembangkan bakat di luar negara, mungkin ke Indonesia dulu," kata Azira pada sidang media Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM 38) di JioSpace, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada acara itu, lagu De Fam berjudul Berubah menembusi pencalonan antara 30 lagu yang akan merebut tempat pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38) yang bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Mac depan.

Sementara itu, mengulas kejayaan lagu dan lirik ciptaan Mage, Faizal Tahir dan Sophia Liana melangkah ke peringkat SFMM 38, Azira berkata, lagu Berubah memang dihasilkan untuk membolehkan menyertai AJL.

"Format lagu ini memang dihasilkan untuk masuk AJL. Alhamdulillah, kami berjaya masuk ke peringkat separuh akhir.

"Lagu Berubah agak berbeza kerana ia genre balada. Ini adalah kali pertama kami melangkah ke SFMM dengan lagu sendiri. Ini kerana sebelum ini kami menggantikan tempat Altimet.

"Memandangkan menyanyikan lagu berentak balada, jadi pastinya tumpuan akan diberikan kepada vokal.

"Kalau genre hip hop, orang lebih nak tengok dari segi tarian. Jadi, kami masuk kelas nyanyian di bawah bimbingan Cikgu Shafi," ujarnya.

Terdahulu, Azira berjaya mengenepikan tiga calon lain dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Watak Komedi) iaitu Jeanie Ng Ka Yan (Hong Kong), Ratna Pathak Shah (India) dan Isabelle Daza (Filipina).

Drama Ijab Kabut arahan Faliq Sharif turut menampilkan barisan pelakon seperti Fadlan Hazim dan Iedil Dzuhrie Alaudin.

Berita Harian X