Isnin, 11 Disember 2023 | 6:04pm
Abang Adik menggandingkan pelakon Malaysia, Jack Tan (kiri) dan bintang Taiwan, Wu Kang Ren. - NSTP/Asyraf Hamzah
Abang Adik menggandingkan pelakon Malaysia, Jack Tan (kiri) dan bintang Taiwan, Wu Kang Ren. - NSTP/Asyraf Hamzah

Abang Adik kutip RM6.5 juta tayang 3 hari di Taiwan

PETALING JAYA: Filem sulung arahan sutradara kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong berjudul Abang Adik terus mencipta kejayaan di Taiwan apabila mencipta rekod pecah panggung dengan kutipan NT$40mil (RM6.5 juta).

Susulan kejayaan itu, Ong mengakui mengalirkan air mata kegembiraan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita berkenaan daripada pihak penayangan filem di Taiwan, hari ini melalui mesej yang dikirimkan.

"Saya menangis kerana tiga hari pertama tayangan filem ini pun kami berjaya meraih RM2.2 juta. Semasa di Taiwan saya juga menangis selepas mendapat berita itu. Semua filem Malaysia yang pernah ditayangkan di Taiwan sebelum ini masih tiada rekod ini.

"Sebenarnya saya juga takut untuk tayangkan filem Abang Adik di Taiwan kerana ia mungkin jadi seperti filem-filem lain sebelum ini. Tapi, sejak ditayangkan, ia sering diperkatakan penonton di sana.

"Disebabkan itu, perasaan kami sudah berubah, tapi tidak menyangka boleh meraih kutipan baik hanya selepas tiga hari ditayangkan. Jadi, apabila pihak pengedar di Taiwan maklumkan kepada saya mengenai perkara ini, saya sangat seronok," katanya ditemui pada sesi tayangan dan sidang media filem Abang Adik sempena tayangannya di Malaysia 14 Disember ini.

Terdahulu, filem Abang Adik yang ditayangkan di Taiwan bermula 1 Disember lalu mendominasi carta pecah panggung negara itu pada minggu pertama dengan kutipan sebanyak NT$15mil (RM2.22 juta), sekali gus dianggap kutipan tertinggi untuk filem Malaysia.

Antara barisan pelakon Abang Adik ketika sidang media sempena tayangan di Malaysia, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Antara barisan pelakon Abang Adik ketika sidang media sempena tayangan di Malaysia, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mengulas keterujaan menjelang tayangan di 82 pawagam Malaysia yang berbaki tiga hari lagi, Ong berkata, dia yakin filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co LtD dan edaran mm2 Entertainment itu mampu mendapat tempat di hati penonton tempatan.

"Memang ada keyakinan untuk kami menayangkan filem ini di Malaysia. Mungkin pasaran untuk penonton berbangsa Cina akan ada maklumbalas yang baik.

"Semasa buat penapisan filem di Lembaga Penapis Filem (LPF), ada antara kenalan saya mesej dan sangat suka dengan filem ini.

"Jadi, ia membuatkan saya teruja dan sudah tentu saya berharap pasaran filem di Malaysia akan memberi impak positif terhadap filem ini," katanya.

Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, selain menjadi filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sebuah sudut tersembunyi di Kuala Lumpur.

Filem berkenaan berkisar kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren. Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Latar filem di kawasan Kuala Lumpur yang kurang dikenali menambahkan keaslian dan keunikan naratifnya, menjadikannya satu naskhah penting dalam industri perfileman Malaysia.

Bulan lalu, Kang Ren memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Filem itu juga mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Naskhah itu juga berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Berita Harian X