Isnin, 11 Disember 2023 | 8:32am

Pilih juri wibawa elak rumah siap pahat berbunyi

KUALA LUMPUR: Cabaran utama dihadapi setiap kali pemilihan 30 lagu terbaik sebagai calon Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) adalah situasi 'rumah siap pahat berbunyi'.

Saban tahun, pasti akan ada pertikaian membabitkan lagu terpilih mengikut alasan dan pandangan masing-masing. Meskipun perdebatan perkara biasa, pihak produksi tetap mengambil pendekatan lebih telus dalam soal penjurian.

Memperincikan perkara itu, Penerbit Eksekutif SFMM 38, Sufian Che Isa, berkata antara langkah dibuat adalah memilih juri berwibawa dan berpengalaman.

"Tak dinafikan, setiap kali keputusan 30 lagu layak bersaing pada peringkat SFMM dikeluarkan, pasti timbul kontroversi. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana soal penjurian bersifat subjektif.

"Bagaimanapun, produksi akan cuba mencari juri yang bukan sahaja berwibawa, malah berpengalaman. Juri juga tidak boleh bias dan harus bersifat berkecuali. Saya faham, apabila membabitkan penggiat seni, kita pasti mempunyai penyanyi kegemaran.

"Namun, kami mempunyai 'jabatan forensik' sendiri yang boleh memastikan pengiraan markah dibuat dengan telus dan tidak berat sebelah.

"Setiap juri dipilih perlu mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan seperti susunan muzik dan penulisan lirik," katanya pada sidang media SFMM 38 di JioSpace, Petaling Jaya, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengurus Projek, Russel Mark Rodrigues dan Pengurus Pengurusan Kandungan dan Siaran (Hiburan) TV3, Aizat Nizam.

Disebabkan tanggungjawab besar dan bebanan kerja perlu dipikul, Sufian mengakui, tidak ramai penggiat seni berminat untuk memikul tanggungjawab sebagai juri.

"Kadang-kadang ada menolak untuk menjadi juri disebabkan bebanan sangat tinggi. Disebabkan itu juga, kami terpaksa memilih orang sama menggalas tugas ini. Biasalah pusing-pusing, orang sama.

"Begitupun, pemilihan tidak dibuat secara tangkap muat kerana kredibiliti perlu ada dalam diri seseorang yang dilantik sebagai juri. Selain kriteria yang disebutkan, kami akan pastikan mereka tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan label, komposer, penulis lirik atau penyanyi," katanya.

Senarai penuh SFMM 38 diumumkan menerusi persembahan mantap finalis program realiti, Famili Duo musim ketiga, Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi serta Sharul Kamal.

Aina mempertaruhkan lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaannya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Aina mempertaruhkan lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaannya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mengulas ketiadaan penyanyi asal dan tempatnya diambil alih penyanyi gantian pada peringkat SFMM 38, Sufian memaklumkan, keputusan dibuat atas persetujuan bersama dan termaktub dalam syarat ditetapkan.

"Memang ada beberapa penyanyi asal yang dipertandingkan tidak dapat menyertai SFMM 38 atas beberapa faktor. Untuk lagu Astana nyanyian Ernie Zakri, tempatnya digantikan oleh Nadeera. Ini disebabkan masalah membabitkan label.

"Lagu Dua Darjat nyanyian Black diganti dengan Ara Johari kerana Black mengalami masalah kesihatan. Manakala, Faizal Tahir pula sejak awal sudah memaklumkan tidak akan menyertai AJL.

"Kalau boleh kami memang mahu penyanyi asal menyampaikan lagu. Bagaimanapun, perubahan boleh berlaku pada saat akhir. Jika penyanyi gantian tidak dapat menyanyikan lagu dengan baik, kami boleh tukar penyanyi, namun atas perbincangan bersama," ujarnya.

Barisan komposer dan penyanyi yang bakal berentap, termasuk Inilah Jalannya nyanyian Masdo, manakala lagu dan lirik ciptaan Noh Salleh; Oh Wanita (Khai Bahar/Harry Khalifah/Harry Khalifah); Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat); Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee & Ezra Kong/A Ramlee & Ezra Kong); Kaulah Syurga (Khai Bahar & Lia Aziz/Asfan Shah/Siti Rosmizah); Tusuk (Shiha Zikir/Iqie Hugh & Omar K/Iqie Hugh & Omar K); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari); Ilusi (Marsha Milan Ft Hazama/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K); Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Bahagia Milik Kita (Syamel/Syamel & Ahmad Jeffny/Syamel).

Lagu lain yang turut tercalon ialah Racun (Elica Paujin Ft Dem Lepak Boyz/Iqie Hugh & Aniq Iffat/Iqie Hugh & Aniq Iffat); Korbankan Kita (Mojo/Edry Abdul Halim); Kamu Kamu (Wani Kayrie/Ziin/Jerry); Alah Bisa (Amira Othman Ft Faizal Tahir/Glow Rush/Mage, Nick Ariff, Glow Rush, Faizal Tahir & Acap Salim); Astana (Ernie Zakri/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri & Syamel/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri & Syamel); Cinta Hanya Buatan (Muna Shahirah & Afieq Shazwan/Gouffran & Ibnu/Gouffran & Ibnu); Cinta Sahabiyah (Datin Alyah/Datin Alyah & Omar K/Datin Alyah); Menyantun Kasih (Siti Nordiana/M Nasir/Keon); Sejuta Maaf (Liza Hanim/Sirkhan & Rinkarnaen/ Sirkhan) dan Sutera (Aishah Retno/Aishah Retno).

Melengkapkan senarai pencalonan ialah Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat); Dua Darjat (Black Hanifah/Nyawablack & Nyawablack/Amintot); Santai (Faizal Tahir/Faizal Tahir); Budi (Kmy Kmo, Luca Sickta Ft Sufian Suhaimi/Kmy Kmo & Luca Sickta); Berubah (De Fam/Mage, Faizal Tahir & Sophia Liana/Mage, Faizal Tahir & Sophia Liana); Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/Amylea/Amylea); Bintang (Hael Husaini/Hael Husaini); Darah (Marsha Milan/Naim Daniel & Firdaus Rahmat/Naim Daniel & Firdaus Rahmat); Aku, Hati Dan Perasaan (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli) dan Di Sebalik Rahsia (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli & Sharon Paul/Haqiem Rusli & Fahmi Zafran).

SFMM 38 dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy bakal bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam bermula antara 15 hingga 17 Disember ini, jam 3 petang.

Setiap episod akan dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan berbeza iaitu Noraniza Idris (episod pertama), Akim & The Majistret (episod kedua) dan Search (episod ketiga).

Edisi SFMM 38 dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile.

Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital serta Hot FM sebagai rakan radio.

Peminat boleh mengundi lagu kegemaran mereka melalui Undian Lagu Pilihan Alha Alfa, hanya dengan mengimbas kod QR yang tertera sepanjang tiga hari bersiaran langsung.

Malam kemuncak AJL 38 bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan.

Antara barisan penyanyi yang bakal merentap dalam merebut peluang beraksi di pentas AJL 38. - NSTP/Asyraf Hamzah
Antara barisan penyanyi yang bakal merentap dalam merebut peluang beraksi di pentas AJL 38. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X