Ahad, 10 Disember 2023 | 4:50pm
Antara barisan artis yang bakal berentap pada peringkat SFMM 38 mulai Jumaat ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Antara barisan artis yang bakal berentap pada peringkat SFMM 38 mulai Jumaat ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Komposer, penyanyi legenda beri saingan dalam SFMM 38

PETALING JAYA: Komposer tersohor, Datuk M Nasir membuktikan masih berbisa apabila lagu ciptaannya berjudul Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana menjadi antara 30 lagu layak bersaing pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38.

Selain M Nasir, komposer senior lain yang turut berjaya ke peringkat SFMM 38 adalah Edry Abdul Halim menerusi lagu Korbankan Kita nyanyian Mojo, sekali gus merebut kedudukan peringkat akhir mulai Jumaat ini.

M Nasir yang terkenal dengan jolokan Sifu pernah menjulang trofi AJL sebanyak empat kali menerusi lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud pada 1994, diikuti Ghazal Untuk Rabiah (1997), Andalusia (1999) dan Awan Nano (2011).

Mengulas kembali 'gergasi' dalam pentas prestij itu, Penerbit Eksekutif SFMM 38, Sufian Che Isa menyifatkan penyertaan mereka memberi nilai tambah kepada acara itu.

"Saya gembira komposer legenda seperti M Nasir antara calon SFMM 38.

"Mereka memberi nilai tambah kepada prestij acara ini. Saya juga mengalu-alukan lebih ramai komposer legenda untuk menyertai Muzik Muzik," katanya.

Senarai penuh SFMM 38 diumumkan menerusi persembahan mantap finalis program realiti, Famili Duo musim ketiga, Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi serta Sharul Kamal pada majlis sidang media yang diadakan di JioSpace, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Projek, Russell Mark Rodrigues dan Pengurus Pengurusan Kandungan dan Siaran (Hiburan) TV3, Aizat Nizam.

Seperti dijangka, penyanyi bervokal mantap, Ziana Zain kembali memeriahkan pentas SFMM 38 apabila lagu duet Waktu bersama Hasif Upin turut dicalonkan.

SFMM 38 turut menyaksikan kemunculan semula bekas juara AJL, Hael Husaini dan juara tahun lalu, Aina Abdul.

Untuk tahun ini, Hael mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Bintang, manakala Aina menerusi single Jangan Mati Rasa Itu.

Barisan komposer dan penyanyi yang bakal berentap termasuklah Inilah Jalannya nyanyian Masdo, manakala lagu dan lirik ciptaan, Noh Salleh; Oh Wanita (Khai Bahar/Harry Khalifah/Harry Khalifah); Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat); Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee & Ezra Kong/A Ramlee & Ezra Kong); Kaulah Syurga (Khai Bahar & Lia Aziz/Asfan Shah/Siti Rosmizah); Tusuk (Shiha Zikir/Iqie Hugh & Omar K/Iqie Hugh & Omar K); Hasrat (Amir Jahari/Amir Jahari); Ilusi (Marsha Milan Ft Hazama/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K/Iqie Hugh, Shazreq Azeman & Omar K); Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Bahagia Milik Kita (Syamel/Syamel & Ahmad Jeffny/Syamel).

Lagu lain yang turut tercalon adalah Racun (Elica Paujin Ft Dem Lepak Boyz/Iqie Hugh & Aniq Iffat/Iqie Hugh & Aniq Iffat); Korbankan Kita (Mojo/Edry Abdul Halim); Kamu Kamu (Wani Kayrie/Ziin/Jerry); Alah Bisa (Amira Othman Ft Faizal Tahir/Glow Rush/Mage, Nick Ariff, Glow Rush, Faizal Tahir & Acap Salim); Astana (Ernie Zakri/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri & Syamel/Omar K, Shazriq Azeman, Ernie Zakri & Syamel); Cinta Hanya Buatan (Muna Shahirah & Afieq Shazwan/Gouffran & Ibnu/Gouffran & Ibnu); Cinta Sahabiyah (Datin Alyah/Datin Alyah & Omar K/Datin Alyah); Menyantun Kasih (Siti Nordiana/M Nasir/Keon); Sejuta Maaf (Liza Hanim/Sirkhan & Rinkarnaen/Sirkhan) dan Sutera (Aishah Retno/Aishah Retno).

Melengkapkan senarai pencalonan adalah Kalam (Shiha Zikir/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat/Iqie Hugh, John Jeeves & Firdaus Rahmat); Dua Darjat (Black Hanifah/Nyawablack & Nyawablack/Amintot); Santai (Faizal Tahir/Faizal Tahir); Budi (Kmy Kmo, Luca Sickta Ft Sufian Suhaimi/Kmy Kmo & Luca Sickta); Berubah (De Fam/Mage, Faizal Tahir & Sophia Liana/Mage, Faizal Tahir & Sophia Liana); Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/Amylea/Amylea); Bintang (Hael Husaini/Hael Husaini); Darah (Marsha Milan/Naim Daniel & Firdaus Rahmat/Naim Daniel & Firdaus Rahmat); Aku, Hati Dan Perasaan (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli) dan Di Sebalik Rahsia (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli & Sharon Paul/Haqiem Rusli & Fahmi Zafran).

SFMM 38 dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy bakal bersiaran secara langsung selama tiga hari berturut-turut dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam bermula 15 Disember hingga 17 Disember ini, jam 3 petang.

Setiap episod akan dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan berbeza iaitu Noraniza Idris (episod pertama), Akim & The Majistret (episod kedua) dan Search (episod ketiga).

Edisi SFMM 38 dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile.

Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital serta Hot FM sebagai rakan radio.

Peminat boleh mengundi lagu kegemaran mereka melalui Undian Lagu Pilihan Alha Alfa, hanya dengan mengimbas kod QR yang tertera sepanjang tiga hari bersiaran langsung.

Malan kemuncak AJL 38 bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3 Mac tahun depan.

Berita Harian X