Ahad, 10 Disember 2023 | 1:01pm
Nasha tetap menuntut hak meskipun produser enggan beri kerjasama melunaskan tunggakan 30 peratus baki bayaran drama bersiri. NSTP/Faiz Anuar
Nasha tetap menuntut hak meskipun produser enggan beri kerjasama melunaskan tunggakan 30 peratus baki bayaran drama bersiri. NSTP/Faiz Anuar

'Nasha tetap tagih hutang'

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan menjeruk rasa, pelakon dan model jelita, Nasha Aziz, 52, menggesa syarikat produksi milik produser terkenal menyelesaikan tunggakan 30 peratus baki bayaran dalam drama bersiri.

Menurut pemilik nama lengkap Noraishah Abdul Aziz, baki bayaran itu sepatutnya sudah dijelaskan sepenuhnya produser pada Februari lalu, namun janji hanya tinggal janji.

Sangka Nasha, selepas bersuara secara terbuka mengenai isu hutang tertunggak akan ada tindakan susulan, namun apa yang berlaku sebaliknya apabila produser itu terus mendiamkan diri.

Enggan mengaku kalah, Nasha ditemui di lokasi penggambaran telefilem Rumah Pontianak di Pulau Carey, baru-baru ini berkata, dia akan tetap menuntut haknya itu meskipun produser terbabit enggan memberikan kerjasama.

"Isu hutang masih belum selesai dan ia sangat memalukan. Saya tak tahu kenapa selepas saya minta dan terus meminta sehinggalah lima bulan, produser berkenaan terus mendiamkan diri.

"Sebaliknya, produser hanya mengirimkan jambangan bunga dan meminta kedai yang menghantar bunga beritahu dirinya berada di Thailand. Disebabkan itu, tidak dapat menjawab panggilan saya," katanya kepada BH Online.

Pintanya, jika masih miliki perasaan belas kasihan kerana produser pun tahu dirinya bukan makan gaji bulanan.

"Saya harap dapatlah produser jelaskan bayaran, walaupun sedikit demi sedikit, saya tetap terima.

"Sudah tentu saya akan terus menuntut hutang. Ini kerana itu adalah wang hasil titik peluh saya. Hutang harus dijelaskan sama ada lambat atau cepat.

"Kawan-kawan menggesa saya supaya terus menghubungi produser berkenaan supaya dia tak lupa bayaran yang belum dijelaskan ini.

"Saya takkan berdiam diri dan akan terus meminta sehinggalah selesai melunaskan baki bayaran sepenuhnya," katanya.

Nasha harap produser dapat jelaskan bayaran, walaupun sedikit demi sedikit. - NSTP/Faiz Anuar
Nasha harap produser dapat jelaskan bayaran, walaupun sedikit demi sedikit. - NSTP/Faiz Anuar

Dakwa Nasha, difahamkan, pelakon lain juga tidak dapat seperti yang dijanjikan, manakala isu bayaran turut dialami kru balik tabir.

"Saya tak nak kata serik, tetapi ia membuatkan saya lebih tegas dan berhati-hati.

"Saya anggap satu kesilapan besar bila terbabit dalam projek kawan-kawan, tapi pada masa sama, tidak ada sikap profesional dan bertegas dalam urusan kerja.

Ini kerana akhirnya orang akan ambil kesempatan terhadap kita.

"Walaupun terkilan dengan apa yang berlaku, tapi saya percaya pasti ada hikmah di sebaliknya. Ternyata, perkara ini ada kebenarannya kerana saya dikurniakan rezeki lebih besar dan Allah jawab doa saya untuk menunaikan umrah.

"Insya-Allah, saya akan berangkat ke Tanah Suci selepas selesai penggambaran telefilem pada 26 Disember ini dan akan berada di sana selama sebulan," katanya yang pergi bersendirian ke Tanah Suci.

Berita Harian X