Ahad, 10 Disember 2023 | 9:47am
Bagi memenuhi permintaan banyak pihak, Noraniza terpaksa membuat ‘minus one’ untuk memudahkannya mendendangkan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia yang pernah dirakamkan kira-kira 37 tahun lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Bagi memenuhi permintaan banyak pihak, Noraniza terpaksa membuat ‘minus one’ untuk memudahkannya mendendangkan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia yang pernah dirakamkan kira-kira 37 tahun lalu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Cintaku Sampai Ke Ethiopia tular selepas 37 tahun

KUALA LUMPUR: Hanya kerana pernah merakamkan semula lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia nyanyian asal penyanyi Indonesia, Ria Resty Fauzy lebih tiga dekad lalu, penyanyi Noraniza Idris terkena tempias selepas lagu evergreen itu menjadi tular, baru-baru ini.

Noraniza atau lebih akrab di sapa Kak Ani hairan apabila sering diminta untuk menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia oleh penganjur acara setiap kali menerima undangan persembahan.

"Jujurnya, Kak Ani tak berapa mengikuti aliran terkini dalam media sosial. Ini kerana banyak kerja yang perlu dibereskan.

"Jadi, apa yang berlaku dalam aplikasi TikTok, Kak Ani memang tak tahu.

"Pada awalnya bila ada penganjur acara meminta Kak Ani menyanyikan semula lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia, sangka Kak Ani mestilah ia atas permintaan orang lama.

"Maklum sahajalah, lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia dirakam kira-kira 37 tahun lalu dan dimuatkan dalam album Pujaan Malindo yang mengandungi 10 lagu saduran.

"Waktu itu, Kak Ani masih anak dara dan suara pun masih 'kepit' lagi.

"Tapi, Kak Ani pelik juga bila ramai minta lagu ini dinyanyikan dalam persembahan. Selepas itu barulah Kak Ani tahu lagu ini sudah viral," kata penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia ini kepada BH Online.

Kak Ani hairan apabila sering diminta untuk menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia oleh penganjur acara setiap kali menerima undangan persembahan. - NSTP/Rohanis Shukri
Kak Ani hairan apabila sering diminta untuk menyanyikan lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia oleh penganjur acara setiap kali menerima undangan persembahan. - NSTP/Rohanis Shukri

Lagu Cintaku Sampai Ke Ethiopia yang dipersembahkan oleh pelatih jururawat Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah (KSKB) sempena majlis konvokesyen kembali tular apabila mendapat hampir dua juta jumlah tontonan selepas dimuat naik semula oleh pengguna aplikasi TikTok.

Bagi memenuhi permintaan banyak pihak, Noraniza berkata, dia terpaksa membuat 'minus one' untuk memudahkannya mendendangkan lagu berkenaan.

"Memandangkan lagu ini sudah lama dirakam, Kak Ani tidak simpan 'minus one' Disebabkan itu, Kak Ani terpaksa buat 'minus one' baharu.

"Selepas ini bolehlah selit lagu ini dalam mana-mana persembahan," katanya yang baru muncul dengan single baharu berjudul Penawar Kita berpadu suara dengan Hazama.

Berita Harian X