Sabtu, 9 Disember 2023 | 4:01pm
Iman alami cedera ringan akibat kemalangan, termasuk telinga kanan mengalami bengkak sehingga pendengaran sedikit terjejas. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Iman alami cedera ringan akibat kemalangan, termasuk telinga kanan mengalami bengkak sehingga pendengaran sedikit terjejas. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Iman trauma, memandu dalam ketakutan selepas kemalangan

PETALING JAYA: Penyanyi Iman Troye masih trauma memandu kereta susulan kemalangan jalan raya dialami, awal November lalu.

Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Alyssa Sahabudin, 21, berkata, dia perlu memberanikan diri memandu sendiri meskipun kejadian hilang kawalan masih segar dalam ingatan.

"Kereta masih dalam 'hospital', tapi masih warna 'pink', insya-Allah saya akan ambil kereta dalam masa terdekat. Kalau nak cakap pasal trauma, saya masih memandu dalam ketakutan dan terpaksa memandu untuk pergi bekerja kerana tiada orang boleh memandu untuk saya.

"Jujurnya, saya memerlukan orang menemani saya dan cepat terkejut disebabkan trauma. Tapi, Alhamdulillah sekarang bertambah baik.

"Suka atau tidak, saya kena paksa diri kerana kalau tidak, siapa lagi nak memandu. Kalau ingat balik, kereta hilang kawalan dan kepala saya terhentak di tingkap, kemudiannya 'airbag' keluar dan kereta berasap.

"Saya terus keluar kereta untuk menyelamatkan diri. Tapi, saya tak ingat apa jadi selepas itu, cuma telinga belah kanan berdesing.

"Mungkin disebabkan penat tapi faktor utamanya adalah jalan licin sebab hujan," katanya kepada BH Online.

Iman turut memaklumkan, dia mengalami cedera ringan akibat kemalangan, termasuk telinga kanannya mengalami bengkak sehingga pendengaran sedikit terjejas.

Iman bersedia bergelar pelakon dan bakal menghasilkan album pertama, tahun depan. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Iman bersedia bergelar pelakon dan bakal menghasilkan album pertama, tahun depan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Bagi pelantun lagu Teman ini, agak sukar untuknya menjual kereta selepas alami kerosakan agak teruk. Ini kerana kereta pertama yang menyimpan banyak kenangan selepas dua tahun digunakan.

"Kalau nak diikutkan ramai cakap tukar kereta, tapi saya fikir ini adalah kereta pertama yang dibawa ke hulu hilir. Memang ada banyak kenangan seperti saya berlatih untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) dalam kereta.

"Banyak kenangan kereta yang saya namakan Noah ini, jadi saya sayang nak jual," katanya ketika ditemui pada sidang media PTTI Pecutan Akhir SPM berlangsung di Theatrette, Sri Pentas Bandar Utama, kelmarin.

Iman terbabit sebagai duta dan juga ikon kepada pusat peningkatan akademik serta pakar dalam membantu pelajar SPM yang juga peneraju dalam pendidikan digital di Malaysia, PTTI.

Dalam perkembangan lain, Iman memaklumkan dia akan cuba melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan, tahun depan.

"Mungkin kalau ada rezeki saya akan cuba berlakon, tahun depan. Sebelum ini, saya terima tawaran, tapi pihak pengurusan merasakan saya masih belum matang dan bersedia, jadi kami tolak dulu.

"Tapi saya sudah bersedia dan percaya pihak pengurusan tahu apa yang terbaik. Bagi saya, lakonan ini agak berat sebab saya bermula dengan nyanyian, malah nyanyian pun sukar untuk saya bergerak hingga tahap ini.

"Saya pun masih merangkak, jadi lakonan pun saya kena belajar dulu," katanya.

Tambah Iman, dia sudah bersedia untuk menerima komen baik dan buruk dari orang ramai.

Dalam masa sama, kata Iman, dia sedang mengusahakan untuk menghasilkan album pertama.

"Album sulung saya mungkin akan keluar, tahun depan. Tapi pemilihan lagu masih dalam perancangan dan tak tahu berapa lagu nak diletakkan.

"Mungkin saya akan keluarkan lagu catchy seperti Teman. Ia genre yang dikatakan sesuai dengan saya dan selitkan lagu balada dan R&B," katanya.

Berita Harian X