Jumaat, 8 Disember 2023 | 1:21pm
Shiera berkongsi foto suami dan Maria di Instagram (IG). Foto IG Sharifah Shahirah
Shiera berkongsi foto suami dan Maria di Instagram (IG). Foto IG Sharifah Shahirah

Pelakon era 1980-an Maria Arshad separuh sedar di hospital

KUALA LUMPUR : Pelakon popular era 1980-an, Datin Maria Arshad, 65, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini, pagi tadi, selepas mengalami kekejangan badan.

Menantunya, iaitu penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah atau Shiera berkata, ibu mentuanya berada dalam keadaan separuh sedar.

"Pada mulanya, Mama sakit urat pada bahagian belakang badan, Selasa lalu. Suami, Ijoy Azhari bawa ke hospital. Namun, doktor beritahu tiada penyakit serius.

"Ibu mentua mengadu sakit belakang yang melarat ke tangan hingga jadi lemah dan sukar diangkat.

"Keesokannya, iaitu kelmarin, adik ipar bawa Mama ke hospital sekali lagi. Apabila diambil darah, semuanya okay... Tiada darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang semua baik.

"Jadi, ketika itu, doktor beri ubat tahan sakit dan koyok untuk kurangkan kesakitan," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Shiera berkata, keadaan Maria atau nama sebenar, Kamariah Arshad makin teruk malam tadi apabila muntah-muntah hingga kejang otot akibat menahan sakit.

"Selepas dijangkiti COVID-19, kira-kira dua tahun lalu, berat badan Mama turun. Tetapi beliau tiada penyakit selain kurang garam dalam badan.

"Malam tadi, sebelum muntah dan kejang, Mama gelisah dan serba tidak kena. Sekejap duduk, berdiri serta berjalan ke depan dan belakang.

"Mama beritahu dia sangat sakit. Tidak tahu apa yang hendak dibuat, kami buat bacaan Yasin untuk Mama. Tidak lama selepas itu, beliau alami kekejangan dan saya terus minta anak hubungi ambulans," katanya.

Shiera berkata, sehingga hari ini doktor masih belum menemui punca penyakit Maria yang pernah membintangi filem Langit Tidak Selalu Cerah itu.

"Sekarang Mama berada dalam keadaan separuh sedar, matanya terbuka tapi dia tidak berikan apa-apa tindak balas.

"Doktor hendak jalankan beberapa ujian lagi. Sementara Mama tidak agresif seperti sebelum dimasukkan ke ICU, kami minta doktor lakukan apa yang terbaik.

"Saya mohon kepada semua supaya tolonglah doakan Mama kembali pulih," katanya.

Berita Harian X