Jumaat, 8 Disember 2023 | 11:19am
Penganjur Konsert Search Rockin’ Borneo akan mengumumkan tarikh dan lokasi baharu siri jelajah band ikonik itu di Sabah dan Sarawak, apabila tiba masanya kelak. Foto Ihsan RAB International
Penganjur Konsert Search Rockin’ Borneo akan mengumumkan tarikh dan lokasi baharu siri jelajah band ikonik itu di Sabah dan Sarawak, apabila tiba masanya kelak. Foto Ihsan RAB International

Konsert Search Rockin' Borneo di Kota Kinabalu, esok, ditunda

KOTA KINABALU: Konsert Search Rockin' Borneo yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, ditunda kepada tarikh baharu yang akan diumumkan.

Melalui kenyataan dimuat naik dalam akaun media sosial, Yolo Asia yang menjadi antara penganjur konsert berkenaan menjelaskan, Konsert Search Rockin' Borneo terpaksa ditangguh atas faktor yang tidak dapat dielak.

"Dukacita dimaklumkan kami menjadualkan semula Konsert Search Rockin' Borneo. Konsert ini sepatutnya dijadual berlangsung pada 9 Disember (esok) di SICC.

"Namun, acara ditunda atas sebab yang tidak dapat dielak. Keputusan ini dibuat atas kepentingan semua pihak terbabit.

"Penganjur akan membayar semula wang pembelian tiket. Kami memohon maaf atas segala kesulitan dialami," kata kenyataan yang dimuat naik, Rabu lalu.

Selain Yolo Asia, Konsert Search Rockin' Borneo dibawa RAB International dan DVA.

Sementara itu, wakil RAB International menjelaskan pihaknya berat hati membuat keputusan menangguhkan Konsert Search Rockin' Borneo, namun, terpaksa dibuat atas pelbagai faktor yang tidak dapat dielak.

"Kami faham perasaan peminat. Namun, penganjur pada masa sama mahu memastikan peminat dapat menikmati konsert Search yang sebenar.

"Search adalah sebuah kumpulan lagenda dalam industri muzik yang sangat teliti daripada segi kualiti muzik dan bunyi.

"Oleh itu, kami sedang berusaha mendapatkan tarikh dan premis agar peminat Search dapat merasai pengalaman konsert yang lebih berkualiti.

"Kami memohon maaf kepada semua peminat Search serta berharap kekal mendapat sokongan anda," kata kenyataan syarikat terbabit.

Sebelum ini, Konsert Search Rockin' Borneo dilapor turut menjelajah Kuching dan Miri, Sarawak.

Berita Harian X