Khamis, 7 Disember 2023 | 3:03pm
Mierul tidak mempunyai masalah dengan kritikan atau komen negatif, malah menganggapnya sebagai asam garam sepanjang bergelar anak seni. - NSTP/Aziah Azmee
Mierul tidak mempunyai masalah dengan kritikan atau komen negatif, malah menganggapnya sebagai asam garam sepanjang bergelar anak seni. - NSTP/Aziah Azmee

Mierul tak kisah dikritik

KUALA LUMPUR: Pelakon Mierul Aiman, 25, hanya berlapang dada selepas menerima pelbagai kritikan netizen susulan penampilan dan gaya diperagakan menerusi klip video dimuat naik di akaun media sosial milik satu majalah hiburan tempatan.

Mierul atau nama sebenar, Muhammad Amirul Aiman Norazman berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan kritikan atau komen negatif yang dilemparkan, malah menganggapnya sebagai asam garam sepanjang bergelar anak seni.

"Bagi saya, kita pemain dalam industri ini adalah pengkarya. Kita perlu mendengar kritikan atau pendapat orang lain.

"Sebab itu adalah sebahagian daripada kerja. Kita dalam satu pokok yang sama. Kerja pula akan disiarkan dalam satu skala yang sangat besar.

"Jadi, bila mempersembahkan cerita dalam skala besar, kita juga perlu terima pendapat dalam skala besar," katanya ketika ditemui pada sidang media Home of Kids anjuran Astro di Dadi Cinema Pavillion.

Baru-baru ini, dandanan rambut dan gerak tari Mierul yang dimuat naik dalam akaun TikTok majalah berkenaan menjadi antara perkara yang mengundang kritikan netizen.

Mierul bersama barisan artis ketika sidang media Home of Kids anjuran Astro di Dadi Cinema Pavillion. - NSTP/Aziah Azmee
Mierul bersama barisan artis ketika sidang media Home of Kids anjuran Astro di Dadi Cinema Pavillion. - NSTP/Aziah Azmee

Bagaimanapun, pelakon yang mencipta populariti menerusi drama bersiri Projek: High Council itu berkata, netizen berhak menyuarakan pendapat, malah sebagai anak seni, dia perlu mengambil setiap teguran dengan hati terbuka.

"Seperti mana yang saya belajar di sekolah, dalam apa sahaja kerja yang dilakukan mesti akan ada pembangkang.

"Mereka mempunyai pendapat kukuh, menyuarakan apa yang mereka fikir dan kita sebagai pemain industri yang mendengarnya perlu terima dan lihat balik kepada diri sendiri.

"Harus tahu sama ada perkara ini betul atau perlu dibaiki untuk menjadikan diri lebih baik pada masa hadapan. Saya seronok dengan karier dan menikmati perasaan dan seronok dalam padang ini.

"Saya juga suka berinteraksi dengan penonton. Insya-Allah dengan izin-Nya, kaki, tangan, karya dan jiwa saya bekerja demi industri ini," kata juara program pencarian bakat, Hero Remaja edisi 2021/2022 itu.

Terbaharu, Mierul membintangi drama The Cadets bersama barisan pelakon lain seperti Fimie Don, Hawa Rizwana dan Bella Dowanna yang akan disiarkan di Astro Ceria mulai 27 Disember ini.

Berita Harian X