Khamis, 7 Disember 2023 | 11:04am
ASTL tidak sabar muncul dalam Konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Januari depan. - NSTP/Aziah Azmee
ASTL tidak sabar muncul dalam Konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Januari depan. - NSTP/Aziah Azmee

ASTL buka tirai 2024 dengan konsert

KUALA LUMPUR: Membuka tirai 2024, Alif Satar & The Locos (ASTL) bakal meneruskan momentum dengan menjayakan Konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Januari.

Apa yang menarik, konsert itu bakal menampilkan penyanyi dari Indonesia yang juga pemenang tempat ketiga Indonesian Idol musim ke-11, Anggi Marito.

Alif berkata, konsert yang kali pertama menggandingkan ASTL dengan Anggi yang popular dengan lagu Tak Segampang Itu bakal mendedahkan elemen baharu kepada mereka, terutama dalam bidang muzik.

"A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito bukan hanya mengenai kami sahaja. Saya melihat dalam konteks lebih besar apabila digabungkan dengan Anggi.

"Ini adalah silaturahim dua negara serumpun dan mengenai muzik yang menjadi jambatan kepada pengkarya saling bertukar idea serta berkembang.

"Namun, saya tidak mahu berbohong kerana sesungguhnya kami sangat teruja untuk bertemu peminat dan menghiburkan mereka selepas agak lama tidak membuat persembahan dengan durasi yang agak panjang," katanya pada sidang media konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas kolaborasi bersama Anggi, Alif menyifatkan penyanyi wanita berusia 21 tahun itu mempunyai keunikan suara tersendiri, malah, dijangka mampu menarik lebih ramai peminat untuk hadir.

"Anggi adalah artis yang saya baru dengar nama dan lagunya melalui media sosial. Tetapi, apabila sudah tahu lagu apa yang dinyanyikannya, barulah saya fikir dia adalah penyanyi yang mampu menambah seri konsert kelak.

"Saya dan anggota kumpulan lain berbesar hati untuk membuat persembahan bersama Anggi. Saya sangat teruja dan tidak sabar hendak tengok bagaimana hasilnya nanti. Saya berharap ini adalah kolaborasi yang akan memberi impak positif kepada kami berdua," katanya.

Anggi Marito memiliki keunikan suara tersendiri, malah, dijangka mampu menarik lebih ramai peminat untuk hadir. - Foto IG Anggi Marito
Anggi Marito memiliki keunikan suara tersendiri, malah, dijangka mampu menarik lebih ramai peminat untuk hadir. - Foto IG Anggi Marito

Alif berkata, dia dan teman band sudah bersedia memberi persembahan terbaik dengan menjadikan kemunculan mereka dalam mana-mana persembahan secara langsung ketika ini sebagai medan persediaan.

"Ini adalah konsert yang mungkin kami boleh beri sesuatu yang berbeza. Boleh dikatakan kami sudah bersedia. Kami jadikan persembahan yang dilakukan setiap minggu adalah sebagai persediaan untuk konsert itu nanti.

"Malah, setiap persembahan ada kelainan yang kami tampilkan. Apabila hendak buat persembahan di konsert, ia memudahkan kami dari sudut pemilihan gaya penyampaian. Tapi, latihan secara intensif tetap kami buat di studio," katanya.

Sementara itu, Alif berkongsi berjaya melamar kumpulan nasyid popular, Raihan pada saat-saat akhir untuk turut serta menjayakan konsert itu.

"Dalam set sejam setengah nanti boleh bagi rasa berbeza akan ada slot khas yang lebih ke arah kepada peringatan.

"Abang-abang Raihan pun mempunyai pengikut tersendiri. Album yang kami rakam bersama The Sunnah The Better dapat sambutan sehingga kini. Saya yakin kehadiran pasti berganda kelak.

"Memang tidak dinafikan dengan apa yang berlaku sekarang ini dalam dunia, kami sebagai band rasa sangat terkesan. Mungkin kami boleh sumbang sesuatu dalam konsert itu nanti," katanya.

Sebelum ini, ASTL yang pernah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 menerusi lagu Anugerah Terindah sudah menjayakan konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di pentas ikonik, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 26 Ogos lalu.

Berita Harian X