Khamis, 7 Disember 2023 | 8:33am
Bell berpendapat kehadiran pelakon baharu yang berbakat dan mempunyai rupa paras menawan lebih senang mendapat perhatian. - NSTP/Aziah Azmee
Bell berpendapat kehadiran pelakon baharu yang berbakat dan mempunyai rupa paras menawan lebih senang mendapat perhatian. - NSTP/Aziah Azmee

Bell minta beri peluang bakat baharu kenal industri

KUALA LUMPUR: Sebagai artis 'senior' dan berpengalaman luas, Bell Ngasri, 43, berpendapat bakat baharu perlu diberi ruang membiasakan diri dengan selok-belok pentas lakonan tempatan.

Pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini menganggap masih ada pelakon baharu tidak tahu sama ada perlakuan atau sikap mereka bertentangan dengan budaya kerja.

"Mereka baru masuk dalam bidang lakonan, jadi kadang-kadang mereka tidak tahu berperangai seperti 'diva' atau ada yang buat perangai tidak betul.

"Kalau ada dalam kalangan mereka minta bayaran mahal, mungkin itu disebabkan sudah berduit atau ada buat kerja lain di luar. Jadi, perkiraan harga mereka begitu. Mereka sebenarnya bukan tahu sangat perkara ini.

"Jadi, tidak perlu marah pun. Kadang-kadang, ada yang cakap artis baharu besar kepala. Tetapi mereka sebenarnya tidak tahu apa dibuat itu salah.

"Jadi, kalau ada pelakon baharu buat hal kepada saya, saya faham sebab mereka baharu lagi dalam bidang ini. Tapi kalau pelakon lama yang buat, memang kenalah," katanya ditemui pada sidang media Home of Kids di Dadi Cinema Pavillion di ibu negara, Selasa lalu.

Bell bersyukur masih diterima ramai biarpun sudah bertapak hampir 40 tahun dalam industri lakonan tempatan. - NSTP/Aziah Azmee
Bell bersyukur masih diterima ramai biarpun sudah bertapak hampir 40 tahun dalam industri lakonan tempatan. - NSTP/Aziah Azmee

Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri mengaku kehadiran pelakon baharu yang berbakat dan mempunyai rupa paras menawan lebih senang mendapat perhatian.

Bagaimanapun, Bell bersyukur masih diterima ramai biarpun sudah bertapak hampir 40 tahun dalam industri lakonan tempatan.

"Pelakon baharu ini lebih mudah untuk mendapat perhatian ramai. Sebab mungkin dia ada rupa paras elok atau bagus dalam lakonan.

"Jadi, perhatian itu lebih senang tertumpu kepada mereka. Jika saya yang sudah lama dalam bidang ini, mungkin, sambutan itu tidaklah seperti mereka.

"Tetapi saya bersyukur kalau ada yang mahu bergambar dengan saya. Saya juga tidak sangka masih diterima sampai sekarang.

"Saya tidak minta untuk menjadi lebih dahsyat atau dapat lebih banyak tawaran lakonan. Saya sama sahaja dan bersyukur dengan apa yang dapat," katanya.

Terbaharu, Bell membintangi drama berjudul Hikayat Pak Belalang yang akan disiarkan di saluran Astro Ceria bermula 11 November ini.

Berita Harian X