Rabu, 6 Disember 2023 | 11:36am
Fasha mahu ikut jejak rakan artis yang berjaya dalam bidang perniagaan pada masa depan.
Fasha mahu ikut jejak rakan artis yang berjaya dalam bidang perniagaan pada masa depan.

Fasha tak tamak, tolak 15 tawaran lumayan

KUALA LUMPUR: Bukan mengejar wang ringgit semata-mata, namun pelakon popular, Fasha Sandha enggan bersifat tamak dalam menerima tawaran menjadi duta produk.

Justeru, Fasha berkata, dia tak kisah menolak lebih 15 tawaran beberapa syarikat terkemuka.

Fasha berkata, dia terpaksa menolak tawaran walaupun ada syarikat yang memberikan tawaran lebih tinggi, namun atas faktor syarikat berkenaan menjual produk sama di pasaran.

Katanya, dia akan memberi sepenuh tumpuan dan tidak mahu menerima tawaran lain syarikat yang menawarkan produk sama apabila sudah diberi tanggungjawab sebagai duta produk.

"Saya bukannya seseorang yang fikir berkaitan duit semata-mata.

"Saya terima tawaran jadi duta kerana hargai produk berkenaan. Saya fikir kegunaan dan manfaat untuk saya kongsi dengan pengikut," katanya yang kini mempunyai 5.3 juta pengikut dalam laman Instagram.

Fasha berkata, dia juga tidak menolak perancangan menjadi usahawan pada masa depan mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya seperti Neelofa dan Nur Fazura yang kini bergelar jutawan.

Fasha ketika majlis pelancaran kedai tekstil Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, baru-baru ini.
Fasha ketika majlis pelancaran kedai tekstil Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, baru-baru ini.

Namun, katanya, masa belum tiba kerana amat sibuk dengan kerjaya lakonan, sambil menjadi duta produk tempatan.

"Saya belum bersedia untuk memperlahankan rentak dalam bidang lakonan. Sekiranya mahu berniaga atau nak buat produk kena ada masa yang banyak dan kena fokus kepada bisnes.

"Saya masih aktif, tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Jadi, saya fokus dalam lakonan dan jadi duta cari pengalaman dulu.

"Jika kalau ada rezeki, insya-Allah," kata Fasha ketika ditemui selepas majlis pelancaran kedai tekstil Al Faro cawangan Johor di Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, baru-baru ini.

Mengenai perkembangan bidang lakonan, Fasha berkata, dia kini sibuk menjalani penggambaran drama Malang Si Puteri sebanyak 50 episod sebagai watak utama yang akan bersiaran di Astro Ria pada Februari depan.

"Drama ini masih dalam penggambaran mengambil masa selama dua bulan dan bakal menjadi fenomena.

"Kisah sangat luar biasa mengisahkan puteri malang kerana sering ditimpa pelbagai kesusahan dan dianiaya," katanya.

Berita Harian X