Isnin, 4 Disember 2023 | 3:01pm
Antara babak Beto sebagai pendayung dalam filem magiK arahan Yasu Tanaka.
Antara babak Beto sebagai pendayung dalam filem magiK arahan Yasu Tanaka.

Pengalaman Beto mendayung dikelilingi buaya

KUALA LUMPUR: Setiap karakter dilakonkan pasti memberi pengalaman berbeza buat aktor popular, Beto Kusyairy, 43.

Ini termasuk filem terbaharu berjudul magiK terbitan 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka.

Filem arahan pengarah dari Jepun, Tanaka itu memberi sisi dan pengalaman buat Beto yang juga pemenang trofi Aktor Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-32 itu.

Beto berkata, pengalaman menjayakan watak pendayung dan pemandu pelancong bernama Harris antara pengalaman berharga dalam profil kerjaya seninya.

"Saya perlu menghadiri latihan intensif bersama jurulatih yang pakar dalam aktiviti mendayung untuk membawa watak Harris.

"Penggambaran turut diadakan sebelah malam dan dipantau Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Bomba.

"Bayangkan, kami menjalankan penggambaran di sungai dan ada buaya.

"Ada ketikanya, sampai tujuh hingga lapan buaya timbul di tepi. Namun, lokasi penggambaran di Kuala Selangor itu tidak pernah ada kes bahaya membabitkan buaya," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Beto berkata, dia boleh berenang kerana seorang penyelam, kadi, tidak berdepan cabaran besar.

"Cuma cabaran lain apabila perlu mendayung melawan arus. Ia memang kerja sukar.

"Tambah pula ada langkah untuk nampak lebih meyakinkan ketika mendayung, jadi itulah yang memerlukan saya membuat latihan intensif," katanya.

Dalam pada itu, pembabitan Beto atau nama sebenarnya, NurKusyairy Zakuan Osman dalam filem yang mengetengahkan kanak-kanak pekak dan bisu itu juga salah satu sumbangannya kepada komuniti kelainan upaya.

"Saya tahu rakyat Malaysia sangat prihatin dengan isu kekejaman Palestin-Israel, bimbang ada persepsi ke pawagam menonton filem untuk berhibur.

"Bukan itu maksudnya, kita sudah tetapkan tarikh dan masa, perlulah tayangkan filem dalam tempoh ditetapkan.

"Jadi, saya mengharapkan sokongan dan pada masa sama, jangan lupakan solidariti kepada rakyat Palestin.

"Sebab filem magiK ini memaparkan mesej berguna, apatah lagi, ia mengetengahkan kesedaran terhadap golongan kelainan upaya," katanya yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem magiK di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.

Beto bersama Yasu, Bea dan barisan pelakon ketika malam gala filem magiK, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad
Beto bersama Yasu, Bea dan barisan pelakon ketika malam gala filem magiK, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Filem magiK memaparkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan terkenal dengan kelip-kelip.

Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya bekerja sebagai pendayung yang membawa satu pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani berkomunikasi dengan orang ramai kerana lebih cenderung untuk hidup dalam dunia yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.

Selain Beto, filem bergenre drama, keluarga dan fantasi arahan Tanaka itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Ia akan menjengah pawagam sejak 30 November lalu.

Berita Harian X