Isnin, 4 Disember 2023 | 11:03am
Musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy disiarkan TV9 mulai 13 Disember ini. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim
Musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy disiarkan TV9 mulai 13 Disember ini. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim

BoBoiBoy Galaxy SORI sarat tarikan

PUTRAJAYA: Sejak mula diperkenalkan tujuh tahun lalu, siri animasi BoBoiBoy Galaxy yang juga kesinambungan kepada animasi popular BoBoiBoy mencuri perhatian penonton terutama kanak-kanak yang membesar dengan karakter dibawa siri itu.

Justeru, bagi memperkukuhkan jenama selain memenuhi kehendak peminat setia, Animonsta Studios (MONSTA) kembali dengan musim kedua iaitu BoBoiBoy Galaxy SORI dengan pengisian lebih menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, animasi yang diadaptasi daripada komik terbitan syarikat itu sarat dengan pelbagai aksi dan kekal dengan misi menjadi program hiburan keluarga.

"Animasi BoBoiBoy sudah 12 tahun dan peminatnya yang dahulu kecil, sudah bekerja. Kiranya peminat animasi ini daripada dua golongan, iaitu kanak-kanak dan dewasa. Justeru, daripada segi penceritaan, ia mampu menghiburkan dua kelompok ini.

"Untuk musim kedua ini, BoBoiBoy ada kuasa, pengembaraan dan kawan-kawan baharu. Bagi saya, apa yang lebih menarik adalah persamaannya dengan animasi BoBoiBoy dahulu.

"Ini agak nostalgia untuk mereka yang pernah membesar dengan animasi ini. Ia juga program hiburan keluarga yang boleh buat kita gembira menontonnya.

Khairunnisa (kanan) dan Nizam (tengah) bersama peminat animasi BoBoiBoy pada tayangan eksklusifBoBoiBoy Galaxy Sori di GSC IOI City Mall, Putrajaya, Sabtu lalu. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim
Khairunnisa (kanan) dan Nizam (tengah) bersama peminat animasi BoBoiBoy pada tayangan eksklusifBoBoiBoy Galaxy Sori di GSC IOI City Mall, Putrajaya, Sabtu lalu. Foto NSTP Hairul Anuar Rahim

"Elemen itu masih dikekalkan dalam musim kedua ini," katanya ditemui pada majlis tayangan eksklusif BoBoiBoy Galaxy SORI di Putrajaya, kelmarin.

Mengenai penghasilan skrip dan jalan cerita musim kedua, Nizam berkata, mereka tidak pernah ketandusan idea kerana karya diolah daripada komik yang dihasilkan.

"Komik BoBoiBoy Galaxy diterbitkan pada 2020, iaitu sebelum pandemik COVID-19. Saya ingat lagi selepas komik pertama keluar, negara kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, kami berdepan laluan sukar ketika itu.

"Disebabkan kita buat komik dahulu, jadi, jalan cerita itu sudah ada. Apabila orang baca komik, jadi adalah komen yang kami terima. Ada yang suka dan minta kami buat penambahbaikan atau tukar.

"Kalau ada komen yang bagus, kita akan ubah pada bahagian animasi. Saya terkejut kerana menyangka mereka yang baca komik hanyalah kanak-kanak sekolah. Rupa-rupanya ada individu dewasa," katanya.

Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman teruja apabila siri animasi itu akan kembali disiarkan TV9 sebagai stesen televisyen (TV) rasmi untuk siri BoBoiBoy Galaxy.

"Kami sangat berbesar hati kerana setiap kali tayangan, siri animasi ini akan dapat rating tinggi iaitu kira-kira 500,000 untuk setiap kali tayangan walaupun sudah beberapa kali diulang tayang.

"Dengan adanya musim kedua ini, saya harap penonton akan lebih teruja

"Bagi merancakkan lagi promosi siri ini, selain mengadakan tayangan eksklusif bersama peminat, kita menganjurkan peraduan untuk penonton sertai. Selepas menonton, mereka kena hantar penyertaan berbentuk pantun.

"Kita akan beri dua baris pembayang dan peserta kena sambung pantun berkenaan. Untuk pantun paling kreatif, kami akan beri barangan istimewa daripada BoBoiBoy Galaxy," katanya.

Khairunnisa turut yakin nilai murni yang diterapkan dalam siri itu membuatkan ia terus kekal menjadi pilihan utama peminat cilik.

"BoBoiBoy juga adalah jenama animasi yang sesuai dengan tema Jaguh Kartun di TV9 di mana karakter yang dipaparkan tidak mudah putus asa dalam apa jua keadaan dan memiliki semangat setia kawan yang tinggi.

"Secara tidak langsung, ini menepati konsep juara yang cuba ditekankan TV9. Nilai murni begini yang kita mahu penonton di TV9 terapkan dalam kehidupan seharian," katanya.

Tayangan BoBoiBoy Galaxy dibahagikan kepada empat siri pendek iaitu BoBoiBoy Galaxy SORI; BoBoiBoy Galaxy Windara; BoBoiBoy Galaxy Gentar dan BoBoiBoy Galaxy Gur'latan.

Siri animasi BoBoiBoy Galaxy SORI sudah pun menemui penonton di Asia menerusi platform penstriman, Netflix dan MONSTA YouTube Channel. Musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy disiarkan TV9 mulai 13 Disember ini.

Berita Harian X