Sabtu, 2 Disember 2023 | 4:22pm
Nur Fathiah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah agama di Shah Alam. Foto NSTP Farihad Shalla Mahmud
Nur Fathiah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah agama di Shah Alam. Foto NSTP Farihad Shalla Mahmud

Fathiah pinjam suara untuk watak BoBoiBoy

PUTRAJAYA: Peminjam suara untuk karakter animasi popular BoBoiBoy, Nur Fathiah Diaz, 24 mengaku sering berdepan reaksi melucukan kanak-kanak selepas mengetahui suaranya digunakan dalam siri animasi itu.

Nur Fathiah berkata, perkara itu terjadi kerana peminat cilik sukar menerima hakikat watak animasi pujaan mereka itu adalah wanita, malah, individu dewasa.

"Apabila mereka jumpa dan tahu suara watak BoBoiBoy tu kepunyaan saya, kanak-kanak tergamam sebab tidak percaya.

"Mungkin dalam fikiran mereka, makcik manalah yang jadi BoBoiBoy ni (ketawa).

"Bila mereka dengar sahaja suara sama dengan karakter itu, barulah mereka percaya," katanya ditemui pada majlis tayangan eksklusif BoBoiBoy Galaxy SORI di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA, Nizam Abd Razak.

Berkongsi pengalaman meminjam suara watak itu, Nur Fathiah yang bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah agama di Shah Alam, Selangor, memberitahu, anak-anak muridnya cukup teruja apabila mendapat tahu dirinya insan penting di sebalik pembikinan animasi tersebut.

"Mereka yang lebih teruja dan tidak sabar menantikan siri terbaharu Boboboy sampai tahap hendak minta saya berikan 'spoiler' (sedutan) siri itu.

"Kadang-kadang, saya lontarkan suara karakter BoBoiBoy sebagai ganjaran buat mereka apabila habis waktu mengajar.... Sengaja bagi mereka seronok.

"Apabila ada acara di sekolah, maskot BoBoiBoy akan datang untuk memeriahkan majlis ," katanya.

Selain tayangan filem, acara itu turut memberi peluang kepada peminat beramah mesra dengan peminjam suara karakter dalam siri itu serta bergambar dengan watak utama.

Siri animasi BoBoiBoy Galaxy SORI akan menemui penonton di Asia mulai esok menerusi platform penstriman, Netflix dan MONSTA YouTube Channel.

Musim kedua siri BoBoiBoy Galaxy turut disiarkan TV9 mulai 13 Disember ini.

Berita Harian X