Sabtu, 2 Disember 2023 | 3:02pm
Amir tak tahan sabar dan bertindak maki netizen bersikap biadap mempersenda nama arwah bapa Anna Jobling yang sudah meninggal dunia. - Foto IG Amir Ahnaf
Amir tak tahan sabar dan bertindak maki netizen bersikap biadap mempersenda nama arwah bapa Anna Jobling yang sudah meninggal dunia. - Foto IG Amir Ahnaf

Amir Ahnaf sombong, poyo?

KUALA LUMPUR: 'Resume' cemerlang milik bintang baharu dalam ciptaan, Amir Ahnaf, 23, tercalar gara-gara dikaitkan dengan isu sombong, 'poyo' dan besar kepala.

Malah, segala sikap negatif itu semakin hangat kedengaran selepas jejaka terbabit memenangi trofi BBNU Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Julai lalu.

Bukan mahu menuduh sembarangan, tetapi dakwaan itu turut ditimbulkan seorang individu dalam media sosial yang berasa amat kecewa apabila permintaannya bergambar dengan Amir ketika menghadiri sebuah acara disambut secara acuh tak acuh oleh pelakon berkenaan.

Menerusi perkongsian dalam TikTok, individu yang mengaku dirinya adalah peminat Amir itu turut meluahkan rasa kesal apabila mendakwa cubaan memanggil nama pelakon itu bukan sahaja tidak diendahkan, malah sempat memberi ekspresi menjengkelkan, sambil memalingkan wajah apabila disapa.

Mengulas tuduhan dilemparkan, pemilik nama lengkap, Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 23, mengakui terkejut dengan dakwaan itu, sambil menjelaskan dia tidaklah seburuk seperti digambarkan.

"Sejujurnya, saya terkejut macam mana orang boleh keluarkan perspektif seburuk ini terhadap saya sebab kalau boleh saya nak layan semua orang. Ketika sesi ramah mesra di sebuah pusat membeli-belah tahun lalu, ada yang marah apabila saya bertegur sapa dengan semua orang.

"Kalau boleh saya memang nak tegur semua orang yang ada depan mata dan bergambar dengan mereka.

"Saya seorang yang mudah bergaul. Nak sembang topik apapun saya boleh layan. Saya akan tegur semua orang kecuali kalau tak sihat ataupun kena balik awal sebab 'call time' awal pagi untuk penggambaran," katanya kepada BH Online.

Meskipun namanya kini semakin menjadi sebutan dan dianggap antara pelapis muda wajar diberi perhatian, Amir nyata masih tebal dengan sifat merendah diri apabila tidak pernah menganggap dirinya sebagai pelakon.

"Saya tak nak menggelarkan diri sebagai pelakon. Ini kerana saya baru sahaja pulang dari Indonesia dan seniman di sana tidak pernah menganggap diri sebagai pelakon jika belum 15 tahun ada pengalaman.

"Jadi, mereka akan kumpul pengalaman 15 tahun barulah gelar diri sebagai pelakon. Apa yang boleh saya kongsikan, ini adalah perjalanan saya.

"Saya masih lagi mencuba karakter yang sesuai dan bagaimana saya nak bertapak betul-betul dalam industri. Bagi orang yang faham mana satu karakter dan diri saya dalam dunia realiti," ujarnya.

Amir tak menganggap diri sebagai pelakon selagi usia pengalaman belum 15 tahun. - Foto IG Amir Ahnaf
Amir tak menganggap diri sebagai pelakon selagi usia pengalaman belum 15 tahun. - Foto IG Amir Ahnaf

Dalam pada itu, jejaka yang berasal dari Dungun, Terengganu itu tidak menafikan hatinya terguris dengan tuduhan dibuat.

"Ada juga terasa sedikit sedih dengan penerimaan netizen, tetapi pemikiran seperti itulah yang saya dan rakan cuba nak ubah.

"Sejak zaman Projek: High Council lagi kami sudah fikir bagaimana nak wujudkan gelombang baharu yang orang boleh terima di mana ada sekumpulan pelakon pelapis yang boleh menggemparkan industri seni di Malaysia.

"Kami bukan nak rampas tempat pelakon lama, tetapi mahu bergabung. Tak ada niat langsung untuk 'cantas' rezeki orang lama.

"Sebaliknya, ini adalah sesi perkongsian bersama pelakon senior," jelasnya.

Enggan terus dilabelkan sebagai artis bermasalah dan tidak mahu isu itu berpanjangan, pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Hero Remaja 2021/2022 ini memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin

berkecil hati dengan sikapnya.

"Saya minta maaf. Sebagai manusia, saya ada khilaf dan tak boleh buat apa. Saya hanya manusia biasa," luah Amir yang bakal muncul dengan drama rantaian berjudul Gamers Mangkuk.

Sementara itu, mengulas isu memaki netizen ketika membuat 'live dalam media sosial, baru-baru ini, Amir berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana individu terbabit bersikap biadap dengannya.

Katanya, selain mahu mengajar individu terbabit supaya lebih bersopan, tindakan itu juga dibuat kerana mahu mempertahankan maruah pelakon Anna Jobling daripada diperkotak-katik.

"Ketika sedang buat 'live' dalam media sosial, tiba-tiba ada seorang individu bersikap biadap dengan saya apabila mempermainkan nama bapa Anna yang sudah meninggal dunia.

"Mulanya, saya malas nak layan, tapi saya lihat profil, rupa-rupanya budak bawah umur.

"Bila dapat tahu, saya rasa sangat kasihan dan terfikir mengapa budak bawah umur seperti ini sanggup bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Saya bertindak menegurnya kerana itu adalah tanggungjawab saya," kata Amir.

Meskipun tindakannya itu mengundang pelbagai persepsi, namun, kata jejaka tinggi lampai ini, dia tidak kisah dan bersedia berdepan dengan pelbagai kemungkinan.

"Ada sokong tindakan saya, ada juga tidak. Dalam industri ini, saya ada penyokong dan 'haters' dan mereka bergerak seiring.

"Kalau ada penyokong sahaja tanpa ada pembenci, ia takkan bawa kita ke mana-mana.

"Jadi, saya sentiasa bersedia dengan apa sahaja komen kerana setiap orang, ada pendapat masing-masing dan cara tersendiri ketika berdepan dengan situasi seperti itu," ujar Amir.

Mula mencipta fenomena menerusi watak Kapla dalam drama Projek: High Council. Amir dan Anna kini digosipkan menjalinkan hubungan cinta selepas bergandingan bersama.

Berita Harian X