Sabtu, 2 Disember 2023 | 12:40pm
BCL dan Tiko dijangka bernikah di sebuah resort peranginan mewah di Bali, petang ini. Foto AGENSI
BCL dan Tiko dijangka bernikah di sebuah resort peranginan mewah di Bali, petang ini. Foto AGENSI

BCL nikah petang ini, resort percutian dikawal ketat

BALI: Lokasi acara pernikahan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) dan jejaka pilihan hati, Tiko Aryawardhana di sebuah resort percutian di sini, petang ini, dikawal ketat, lapor agensi tempatan.

Media Indonesia dilaporkan 'berkampung' di hadapan resort mewah itu sejak petang semalam, namun, dihalang mendekati laluan masuk utama pusat peranginan yang terletak berhampiran kaki Gunung Agung itu.

Mengikut laporan suara.com, penggawal keselamatan ditempatkan di laluan masuk resort bagi memastikan kumpulan media tidak memasuki premis terbabit.

Malah, wakil media hanya dibenarkan berkumpul di lokasi beberapa meter daripada pintu masuk utama, lapor agensi.

BCL yang juga ibu kepada anak tunggal, Noah Aidan Sinclair, 12, dikatakan hanya mengundang tidak sampai 100 tetamu untuk menghadiri majlis pernikahannya.

Rakan artis, Maia Estianty juga dilaporkan sudah bertolak ke Bali untuk menghadiri acara pernikahan Bunga, 40 dan pasangannya, Tiko, 43, lapor agensi. Maia dan BCL adalah sahabat akrab kerana menjadi juri program realiti, Indonesia Idol.

Agensi melaporkan, pakej pernikahan di resort mewah itu dianggar bernilai RM100,000 hingga RM600,000. Pusat peranginan mewah itu pernah menjadi pilihan pemain bola sepak terkemuka dunia, David Beckham bersama keluarganya dalam kunjungan mereka pada 2007.

BCL pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung. - AGENSI

Berita Harian X