Jumaat, 1 Disember 2023 | 7:36pm
Afgan sudah lama menyimpan impian tampil dalam konsert bersama pemuzik orkestra di Malaysia. - Foto IG Afgan
Afgan sudah lama menyimpan impian tampil dalam konsert bersama pemuzik orkestra di Malaysia. - Foto IG Afgan

Afgan kagum pemuzik orkestra Malaysia

KUALA LUMPUR: Dalam pada teruja, penyanyi, Afgan, 34 berdebar mahu menjayakan konsert pertama bersama pemuzik orkestra tempatan, esok.

Afgan atau nama sebenar, Afgansyah Reza berkata, dia meletakkan syarat untuk mendapatkan khidmat orkestra sebagai pemuzik kali ini bagi menjayakan Konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Ini akan menjadi konsert pertama bersama orkestra di Malaysia. Jujurnya, ia sudah menjadi impian sudah lama, baru dapat merealisasikan sekarang.

"Jadi, kalau nak tanya beza konsert esok dengan sebelumnya, konsert ini akan menampilkan band penuh dan lebih bertenaga.

"Malah, panggung lebih elegan sama dengan lagu-lagu yang dipilih. Jika sebelum ini, saya pilih memulakan konsert dengan lagu keras, tapi kali ini saya pilih lagu balada.

"Ia akan memaparkan sisi lembut dan elegan. Jadi, ia pastinya berbeza dengan apa yang pernah dilakukan di konsert sebelum ini.

"Saya bersama 30 pemuzik orkestra dan kami sudah berlatih sejak semalam," katanya kepada BH Online.

Afgan ditemui pada sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, petang tadi.

Terdahulu, Afgan pernah menjayakan konsert diiringi pasukan orkestra di Indonesia pada 2015.

Afgan berkata, dia sangat menghargai peluang sekali lagi bekerjasama dengan pemuzik orkestra selepas lapan tahun.

Afgan teruja bakal menjayakan Konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, esok. - Foto IG Afgan
Afgan teruja bakal menjayakan Konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, esok. - Foto IG Afgan

Katanya, kehebatan pemuzik orkestra dari Malaysia disifatkan berbakat besar dan profesional.

"Saya kagum saat menjalani latihan bersama pemuzik orkestra, hari ini. Mereka sangat rapi walaupun baru dapat nota muzik untuk konsert.

"Tapi, mereka sudah boleh memainkan muzik dengan baik.

"Ini pastinya satu kolaborasi baik. Ini juga sesuatu yang baru, belum pernah peminat di Malaysia lihat," katanya.

Kejayaan Konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu juga menjadi penanda aras buat Afgan untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setia.

Afgan akan membawakan 25 lagu termasuk lagu baharu dan lagu nyanyian penyanyi tempatan yang masih dirahsiakan.

Afgan juga bakal menampilkan rakan artis senegaranya, Raisa. Mereka akan berduet menerusi lagu Percayalah.

Sebanyak 3,000 tiket sudah habis terjual, justeru Afgan menyimpan harapan besar agar semua yang hadir terhibur dengan persembahannya kali ini.

Berita Harian X